Pelakon Siti Saleha berkata hampir tiga bulan bergelar isteri dia dan suaminya, Joshua Fitton masih dalam fasa bulan madu.
Memetik Harian Metro, Saleha meluahkan rasa syukur dipertemukan dengan lelaki budiman seperti Joshua yang sentiasa membuatkan dia gembira.
BACA: Siti Saleha Sah Bergelar Isteri Joshua Fitton
“Sepanjang tempoh tiga bulan kami menjadi suami isteri, perasaan sangat menyeronokkan. Kami asyik ‘honeymoon’ sahaja. Rasa seperti sudah lama berkahwin.
“Mungkin sebab kami sudah lama kenal. Dia adalah kekasih, suami dan kawan baik. Dia sangat tenang dan sering buat saya gembira,” katanya.
Sementara itu, Saleha berkata Joshua tidak pernah mengawal penampilannya mahupun mengkritik gayanya meskipun suaminya itu seorang pereka fesyen serta mahu dia menjadi diri sendiri.
“Berkahwin dengan pereka fesyen sangat senang. Baju raya tak payah fikir, tapi dia tidak pernah kawal gaya pemakaian saya. Sebaliknya, saya yang akan bertanya sama ada sesuai atau tidak.
“Mungkin 10 tahun lalu dia lebih mementingkan gaya, tetapi semakin meningkat usia, soal gaya bukan lagi menjadi keutamaan. Suami juga tidak pernah persoalkan gaya saya. Dia mahu saya jadi diri sendiri.
“Pakaian harian dia sama saja, melainkan kalau ada acara rasmi atau permaidani merah, barulah dia pakai sut dan tampak kacak. Sekarang penampilannya lebih santai dan itulah yang saya inginkan,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai zuriat, Saleha berkata dia tidak pernah merancang, malah dia bersama suami sememangnya mahukan cahaya mata.
“Kalau tuhan beri rezeki cepat, kami terima sahaja. Suami memang mahukan anak. Saya katakan padanya semua itu bergantung kepada rezeki yang Allah SWT hendak beri. Kami memang mahukan anak. Usia saya pun sudah 35 tahun. Jadi, memang tidak merancang,” katanya.
Siti Saleha dan Joshua bergelar suami isteri dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang pada 15 Februari lalu.
SUMBER: Harian Metro