Ahli perniagaan, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman menjelaskan dia bukan pengendali skim penipuan pelaburan yang dikaitkan dengan sebuah syarikat.
Memetik Malaysia Gazette, Mahadi berkata dia hanya bertindak sebagai perantara antara pelabur dan syarikat terbabit serta semua urusan pembayaran dibuat terus antara pelabur dan syarikat tanpa melibatkan dirinya.
BACA: “Syarikat Saya Patuh Undang-Undang, Syariah” – Suami Heliza
“Segala urusan pelaburan termasuk pembayaran dan penyerahan dokumen dilakukan secara langsung antara pelabur dan syarikat. Saya tidak pernah memegang wang pelabur atau terlibat dalam urusan kewangan mereka.
“Saya bukan pengasas bukan pemilik syarikat dan bukan orang yang mengumpul duit. Saya hanyalah perantara jambatan yang menyambungkan pelabur kepada syarikat yang saya sendiri percaya pada waktu itu,” katanya.
Sementara itu, suami kepada Heliza Hilmi itu berkata dia sendiri telah melabur lebih RM20.7 juta dalam dua entiti yang berkaitan antara tahun 2021 hingga 2023, hasil keyakinan terhadap dokumentasi dan struktur syarikat berkenaan.
“Kami diberi taklimat oleh pihak syarikat, lengkap dengan surat perjanjian, pengesahan penasihat syariah dan semua dokumen yang nampak teratur. Kalau tidak, saya sendiri tidak akan berani melabur sebanyak itu,” katanya.
Dalam pada itu, Mahadi mengakui rasa bersalah kerana memperkenalkan skim tersebut kepada ramai individu termasuk rakan dan kenalan rapat yang turut menjadi mangsa.
“Saya rasa sangat bersalah. Ramai kenal saya dan percaya kepada saya. Saya pula percaya kepada syarikat itu tapi akhirnya saya pun terkena,” katanya.
Menurut Mahadi lagi, di telah membuat laporan polis dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan.
“Saya jaga nama saya selama ini. Hari ini saya dikecam, dihukum di media sosial. Tapi saya tidak akan lari. Saya akan terus beri kerjasama dan bantu pelabur dapatkan keadilan,” katanya.
SUMBER: Malaysia Gazette