MyEziPrint & Flexsilk: Inovasi Gempak Made in Malaysia!

Pernah tak anda berdepan situasi nak cetak assignment penting, tapi printer kat rumah buat hal? Atau anda baru nak mula bisnes cetakan baju, tapi ruang kerja di rumah sangat terhad?

Di sinilah dua inovasi tempatan ini, MyEziPrint, kiosk
pencetak layan diri dan Flexsilk, meja cetak baju fleksibel hadir sebagai penyelesaian yang sangat praktikal untuk anda.

Baru-baru ini, UiTM Shah Alam menjadi tuan rumah bagi majlis penyerahan dua produk inovasi hasil bakat tempatan.

Majlis ini adalah sebahagian daripada Program Inovasi Akar Umbi (MaGRIs/MyIS) yang dikendalikan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dengan sokongan MOSTI.

Matlamatnya adalah untuk membantu komuniti seperti belia, wanita, OKU, dan keluarga B40 menghasilkan produk inovatif yang mampu dikomersialkan.

Majlis yang berlangsung ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin yang menyerahkan secara rasmi produk inovasi tersebut kepada Kolej Kediaman Perindu UiTM Shah Alam.

Yang menariknya, kedua-dua produk ini bukan sahaja hasil penyelidikan tempatan, tetapi sangat dekat dengan keperluan harian masyarakat.

MyEziPrint: Kiosk Pencetak Layan Diri

Kalau anda nak tahu, MyEziPrint adalah hasil inovasi oleh Encik Shahrul Sham Sabudin. Produk ini ialah kiosk cetakan layan diri yang membolehkan anda mencetak dokumen atau imej dengan cepat, tanpa bantuan petugas. Wow, menarik betul ni.

Fungsinya adalah untuk menyokong pelbagai cara penghantaran fail seperti USB, aplikasi mudah alih, e-mel dan juga kod QR.

Lebih menarik, ia boleh beroperasi tanpa sambungan internet dan berfungsi 24 jam sehari. Ini menjadikan MyEziPrint sangat sesuai diletakkan di kampus, perpustakaan, kawasan asrama atau mana-mana ruang komuniti yang sibuk.

Dengan kehadiran MyEziPrint, anda boleh jimatmasa dan kos untuk mencetak, tanpa perlu bergantung kepada kedai atau peralatan sendiri.

Bukan itu sahaja, ia juga sangat membantu golongan usahawan kecil dan pelajar yang sentiasa perlukan akses cetakan secara fleksibel.

Flexsilk: Meja Cetakan Mesra OKU & Praktikal

Satu lagi inovasi yang turut mencuri perhatian ialah Flexsilk, meja cetakan baju hasil ciptaan Encik Mohd Firdaus Mohd Noh.

Flexsilk direka dengan struktur boleh laras ketinggian untuk memberi kemudahan kepada semua pengguna – termasuk golongan OKU, individu berkerusi roda, dan juga kanak-kanak.

Tidak seperti meja cetakan biasa yang besar dan memakan ruang, Flexsilk lebih jimat ruang dan mudah disimpan. Ia adalah solusi yang praktikal untuk mereka yang menjalankan bisnes dari rumah, terutamanya dalam bidang cetakan baju.

Yang menarik, reka bentuk Flexsilk juga menyokong penggunaan semula bahan terpakai. Antaranya ialah cadar linen hotel yang diubah suai menjadi produk kraftangan berkualiti tinggi – satu langkah inovatif ke arah kelestarian alam sekitar.

Bukan Sekadar Produk, Ini Tentang Komuniti

Apa yang menjadikan dua produk ini luar biasa ialah fungsinya yang melangkaui kegunaan biasa. Ia bukan sahaja menyelesaikan masalah harian, tetapi menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti.

Melalui program ini, kami menyaksikan bagaimana inovasi boleh memberi kesan besar kepada masyarakat malah membuka peluang pekerjaan, menjana pendapatan tambahan, dan memperkasakan golongan B40.

UiTM Shah Alam turut memainkan peranan penting dalam menyokong dan memupuk budaya inovasi dalam kalangan pelajar serta komuniti luar. Ia membuktikan bahawa institusi pendidikan bukan sahaja tempat menimba ilmu, tetapi juga pusat mencipta perubahan yang memberi manfaat kepada masyarakat luas.

Inilah Kuasa Anak Tempatan

Inovasi seperti MyEziPrint dan Flexsilk menunjukkan bahawa solusi hebat tidak semestinya datang dari syarikat besar atau luar negara.

Dengan bimbingan yang betul, penyelidikan berfokus dan sokongan komuniti, inovasi dari akar umbi juga mampu memberi impak besar.

Kami berharap dengan adanya program seperti MaGRIs dan MyIS Komuniti ini, lebih ramai rakyat Malaysia akan diberi peluang dan keyakinan untuk mengetengahkan idea mereka.

Yang pasti, usaha sebegini menunjukkan bahawa anak tempatan juga mampu cipta perubahan besar dan bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk manfaat semua.

×