Pelakon dan penyanyi Wani Kayrie berkata dia tidak terlalu memilih pasangan hidup asalkan lelaki tersebut seorang yang rajin berusaha.
Memetik Utusan Online, penyanyi berusia 23 tahun itu berkata ada beberapa lelaki takut untuk mendekatinya kerana bimbang tidak setaraf dari segi pendidikan serta kewangan.
BACA: Berjaga Sampai Pagi Nak Siapkan Assignment, Wani Kayrie Bangga Dapat Keputusan Cemerlang
“Memang sebelum ini ada orang nak kenal, tapi setelah dia tahu yang saya cari duit sendiri dan mempunyai ijazah, dia takut nak teruskan.Tapi sebenarnya, saya okay sahaja asalkan dia seorang yang rajin berusaha,” katanya.
Sementara itu, Wani berkata dia juga mengakui pernah hidup susah dan tiada masalah untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.
“Saya pun datang dari bawah sebelum dapat kesenangan hari ini. Oleh itu kalau mahu cari pasangan hidup pun, saya tidak terlalu memilih.
“Asalkan orang itu serius, dan ada usaha, saya okay sahaja. Dia bawa Myvi pun tak kisah. Saya okay sahaja berkawan dengan sesiapa asalkan saya selesa,” katanya.
Dalam pada itu, Wani bagaimanapun berkata mahu memberi fokus kepada kerja serta menjaga keluarga. Wani turut berhasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Saya anak sulung dan ibu masih bekerja. Saya ada adik kecil dan mahu fokus menjaga keluarga. Lagipula saya masih muda dan ada banyak cita-cita untuk sambung belajar menjadi doktor falsafah (PHD).
“Karier saya juga sedang meningkat naik. Ini adalah masanya untuk saya fokus kepada diri sendiri kerana sebelum ini saya banyak beri perhatian kepada orang lain sehingga mengabaikan diri sendiri,” katanya.