Macam yang anda sedia maklum amalan berwakaf adalah satu ibadah yang amat dituntut oleh Islam. Ibadah yang berbentuk sedekah jariah ini menjanjikan ganjaran pahala berterusan dan berkekalan kepada pewakaf buat selama-lamanya selagi harta yang diwakafkan itu kekal dan dimanfaatkan oleh orang ramai.
Sejarah pun membuktikan bahawa wakaf ini memainkan peranan amat penting dalam pembangunan ekonomi sesebuah negara. Menerusi amalan ini juga, kekayaan dapat diagihkan semula bagi tujuan pembangunan ekonomi sekali gus memberi impak besar kepada masyarakat dan negara.
Wakaf Satu Ibadah Mulia
Jadi, tidak mengejutkan lah apabila banyak negara menjadikan amalan ini sebagai salah satu cara membangun dan menambah baik taraf kehidupan rakyat. Antaranya Singapura, United Kingdom, Kuwait dan negara-negara lain.
Macam di Singapura, terdapat tidak kurang daripada 100 skim wakaf berdaftar. Salah satu kaedah yang digunakan di negara tersebut ialah menerusi Dana Simpanan Pekerja (CPF) yang mana tidak kurang daripada 170,000 pekerja beragama Islam mencarum antara $2 (RM6.17) hingga $11.50 (RM35.50).
Hasilnya kira-kira $6 juta atau RM18.52 juta dapat dikumpul setahun dan diagihkan untuk projek pembangunan masjid atau madrasah serta program kebajikan untuk orang miskin dan golongan memerlukan.
Di United Kingdom pula pertubuhan bukan kerajaan Islamic Relief memperkenalkan beberapa jenis wakaf bagi membantu umat Islam di seluruh dunia antaranya wakaf air dan sanitasi, wakaf kesihatan, wakaf pendidikan, wakaf anak yatim, wakaf bantuan kecemasan, wakaf pendapatan dan wakaf dana masa hadapan.
Program ini turut memberi manfaat besar kepada penduduk dunia seperti kanak-kanak di Palestin, mangsa perang di Bosnia dan penduduk miskin di Bangladesh, Mali, Sudan dan banyak lagi negara lain.
Bulan Wakaf Kebangsaan 2021 Dilancarkan
Amalan ini juga sudah lama dilaksanakan di Malaysia menerusi pelbagai kaedah yang diperkenalkan sama ada oleh institusi kewangan, pertubuhan bukan kerajaan mahupun pihak berkuasa agama seperti majlis agama Islam negeri-negeri sebagai pemegang amanah harta wakaf.
Dan apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyedari kepentingan berwakaf ini, Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) akan diwujudkan dalam memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap selain dapat memaksimumkan mobilisasi asset wakaf pada masa hadapan.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Bulan Wakaf Kebangsaan 2021 baru-baru ini menegaskan menerusi pelan ini peranan wakaf akan dapat diperkasakan untuk meningkatkan pembangunan ekonomi negara sekali gus memberi lebih banyak manfaat kepada masyarakat tanpa mengira agama, kaum mahupun keturunan.
Beliau juga menggariskan empat perkara yang perlu diberi perhatian antaranya meningkatkan tabungan dana wakaf bagi membolehkan banyak lagi aset wakaf diwujudkan.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Zuki Ali sudah meluluskan pekeliling berkaitan tatacara pelaksanaan sumbangan wakaf tunai melalui potongan gaji secara sukarela bagi pegawai awam bagi tujuan tersebut.
Ahli Politik Cuba Mempolitikkan Wakaf
Pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan dalam bulan Ramadan ini sangat kena pada tempatnya. Bagaimanapun ada segelintir ahli politik terdesak cuba mempolitikkan ibadah ini dengan mengaitkannya dengan keadaan ekonomi negara.
Ahli-ahli politik terdesak itu turut menuduh kononnya kerajaan sudah tidak ada wang lagi kerana telah membelanjakan RM600 bilion dalam Belanjawan 2021 dan disebabkan itu penjawat awam digalakkan mewakafkan potongan gaji mereka untuk membantu ekonomi negara.
Kalau kita lihat kepada pekeliling tersebut jelas menyatakan bahawa ‘potongan gaji secara sukarela, ‘bukan diwajibkan dan tidak ada paksaan sedikitpun. Pekeliling itu pun sudah dikeluarkan pada tahun lalu lagi.
Kakitangan awam yang membuat potongan gaji pun tahu berwakaf adalah satu ibadah yang sangat dituntut oleh Islam. Pahalanya tidak putus-putus mengalir apatah lagi pada bulan Ramadan penuh berkat ini.
Mengaitkan galakan berwakaf dengan negara sudah tidak ada wang lagi adalah satu tindakan ‘low class’ dan memalukan diri sendiri. Bercakaplah tentang isu-isu lain yang lebih penting dan berguna di bulan penuh berkat ini.
Jauhilah perbuatan yang boleh membawa kepada kancah fitnah. Janganlah hanya kerana mahu kekal relevan di Facebook, sanggup menjadi penembak curi tetapi sekadar berpeluru kapur!.
Kredit: Utusan TV