fbpx

Ustaz Abu Syafiq Tak Hina Ustaz Ebit Lew

Pendakwah sensasi, Ustaz Abu Syafiq menafikan dakwaan pihak tidak bertanggungjawab mengaitkan dirinya dengan pendakwah bebas terkenal Ustaz Ebit Lew dan Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menerusi Instagram, Abu Syafiq memuat naik sekeping surat akaun berkanun menyatakan dia tidak pernah menghukum sesat atau menghukum kafir ke atas Zulkifli serta dia tidak menghina kerja amal baik dilakukan oleh Ebit.

BACA: Ustaz Abu Syafiq Gesa Henti Hina Sajat

“Saya lakukan Akuan Bersumpah ini kerana terdapat beberapa pihak yang menggunakan akaun palsu serta pihak yang tidak bertanggung jawab terus memfitnah saya.

“Pemfitnah telah memfitnah saya kononnya saya menghina kerja amal Ustaz Ebit Lew dan kafirkan beliau serta Menteri Agama. Wallahi demi Allah itu adalah fitnah yang berat.

“Saya tidak pernah hina kerja amal Ustaz Ebit Lew dan tidak pernah kafirkan beliau dan Menteri Agama. Itu fitnah jahat ke atas saya,” dedahnya.

Kata pendakwah itu lagi, dia sudah pun membuat laporan polis serta aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ke atas individu yang cuba menjatuhkan reputasi dirinya.

“Saya sudah buat laporan polis, aduan ke SKMM, tindakan saman mahkamah ke atas beberapa pihak yang saya kenali namun akaun yang palsu serta laman yang tidak dikenali saya belum dapat membuat tindakan dalam kadar segera sedangkan fitnah ini berluas-luasan.

“Semoga Allah membalas para penfitnah dengan balasan segera dan setimpal,” tulisnya lagi.