Sejak semalam hangat diperkatakan apabila pelakon Kamal Adli berdepan kejadian tidak diingini diserang oleh seorang individu menggunakan cota besi ketika menghadiri satu acara di Singapura.
Menerusi satu video terbaru, isterinya Uqasha Senrose memohon semua pihak tidak bertelagah mengenai insiden menimpa suaminya itu serta meminta perkara itu dijadikan pengajaran kepada semua untuk berhati-hati.
BACA: “Suami Aku Berdarah Depan Mata Aku, Tolong Jangan Komen Benda Bodoh”
View this post on Instagram
“Apa yang berlaku tak ada kena mengena dengan negara. Malang tak berbau dan boleh berlaku di mana-mana. Jangan kerana seorang, satu negara terkena kesannya. Tak boleh begitu.
“Apa yang berlaku kepada kami, adalah pengajaran untuk semua orang supaya lebih berhati-hati selepas ini. Kita tak tahu siapa suka kita dan siapa bencikan kita. Saya harap, semua orang jangan bergaduh antara negara,” katanya.
Menurut Uqasha, rakyat Singapura semuanya baik-baik dan turut menghulurkan bantuan ketika insiden itu berlaku. Ujarnya, tidak perlulah kita bermusuh antara negara serta menyerahkan perkara itu kepada pihak polis.
“Saya nak jelaskan, orang Singapura semua baik-baik. Mereka ada bantu saya dan adik-adik saya semasa Kamal diserang. Tak ada siapa yang salah sebab benda nak jadi.
“Jangan kita bermusuh antara negara. Kita sama-sama cari rezeki. Saya pun ke sini untuk cari rezeki. Biar polis jalankan siasatan,” katanya.
Trauma dengan apa yang berlaku, Uqasha berkata dia terpaksa merahsiakan lokasi di mana dia dan keluarganya berada ketika ini.
“Sampai sekarang saya tak tahu apa motif penyerang itu. Kami terpaksa rahsiakan lokasi kami kerana ugutannya adalah ugutan membunuh. Penyerang itu tak gila. Sama ada dia gangster atau apa, saya tak tahu,.
“Keadaan itu membuatkan saya trauma sebab pertama kali saya melihat insiden begitu berlaku di depan mata saya sendiri,” katanya.