Sebelum ini, bekas model Zahnita Wilson mendedahkan dia diminta melakukan ujian saringan air kencing oleh pihak berkuasa bagi membuat permohonan mendapatkan khidmat polis pengiring untuk menjemput dua anaknya di rumah suami.
Zahnita berkata dia tidak tahu punca dia diminta melakukan ujian berkenaan namun bersetuju untuk melakukan prosedur tersebut dan keputusannya adalah negatif.
BACA: Zahnita Wilson Diminta Buat Ujian Air Kencing, Keputusan Negatif
Memetik Sinar Harian, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap Zahnita dilakukan berikutan ada laporan berkaitan dadah membabitkan bekas pelakon itu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, ujian itu bukan untuk mendapatkan khidmat pengiring polis seperti yang didakwa.
Tambahnya lagi, membuat ujian air kencing dan mendapatkan perkhidmatan polis pengiring merupakan dua perkara yang berbeza.
“Perkara ini perlu diperjelaskan. Ujian urin dibuat bukan disebabkan dia minta bantuan polis untuk mengiring bagi melaksanakan perintah interim hak penjagaan anak sebaliknya ada laporan dibuat terhadapnya berkait dadah pada hari yang sama.
“Polis perlu melakukan ujian air kencing ke atasnya bagi mengesahkan aduan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Zahari berkata pihak polis memberi bantuan pengiring bagi tujuan keselamatan dan mengelak berlaku pergaduhan.
SUMBER: Sinar Harian