fbpx

TV Alhijrah Dikecam Gara-Gara Jemput Kak Long 7E Sebagai Tetamu

Pasti ramai tahu baru-baru ini tular video amuk seorang wanita dikenali sebagai Kak Long di sebuah kedai serbaneka 7Evelen masih lagi menjadi bualan netizen.

Meskipun sudah membuat permohonan maaf namun netizen memperkatakan mengenai kesilapannya itu. Lebih menimbulkan kemarahan netizen apabila tular video wanita itu dipanggil untuk membuat review makanan.

Terbaru, stesen TV Alhijrah dikecam teruk apabila memanggil Kak Long 7E itu sebagai tetamu khas untuk sebuah program.

Difahamkan, perkara itu dikongsikan oleh pendakwah bebas PU Amin di Facebook miliknya. Bagaimanapun posting itu telah dipadam selepas menerima banyak kecaman.

Bagaimanapun perkongsian itu sempat di screenshot oleh netizen dan menjadi bualan ramai di media sosial yang mempersoalkan tindakan pihak produksi menjemput Kak Long sebagai tetamu jemputan.

Turut tular di laman Twitter perkongsian seorang peguam dikenali sebagai Muhammad Syarafi yang mempersoalkan adakah stesen TV berkenaan kekurangan konten untuk berkongsikan perkara yang lebih berilmiah.

Malah, peguam itu bertanyakan adakah stesen TV tersebut mahu mengikut jejak langkah program Melodi dengan menjemput Kak Long 7E.

Perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang berpendapat tindakan TV Alhijrah itu hanya untuk meraih rating apabila melakukan publisiti murahan.

Tidak kurang juga, ramai yang tertanya-tanya mengapa orang biadap sering mendapat perhatian. Malah, ada yang mengatakan inilah masalah di Malaysia dan disebabkan ini juga industri penyiaran tidak akan maju.

Sementara itu, sebentar tadi, pihak TV Alhijrah telah pun mengeluarkan kenyataan media mengenai isu tersebut serta mengambil keputusan untuk menangguhkan penyiaran episod tersebut.