fbpx

“Tuduhan Nikah Tidak Sah, Berzina Terlalu Berat” – Sabri Yunus

Pengarah dan pelakon Sabri Yunus mengakui kesal dengan tuduhan seorang ustaz yang mendakwa pernikahannya dengan Angeline Tan adalah tidak sah.

Memetik Kosmo, Sabri turut terkilan serta menyifatkan ianya tuduhan berat apabila ustaz tersebut membuat kesimpulan dia dan pasangannya akan berzina jika perkahwinan tidak sah. 

BACA: Sabri Yunus Pilih Nama Ardini Untuk Isteri

“Seorang ustaz dengan jelas dan terang mengata pernikahan kami tidak sah dan terus membuat kesimpulan kami akan berzina. Berat tuduhan itu, juga dalam video yang sama dikatanya qabul yang mengelirukan.. siapa yang keliru?

“Dalam majlis tu hanya perlu dua saksi walau hampir 25 orang yang hadir. Saksi dua orang tidak keliru dan 25 hadirin juga tidak keliru,” katanya.

Dalam pada itu, Sabri berkata dia mempunyai sebab tersendiri mengapa memilih bernikah di Perlis namun tidak menyangka akan timbul isu.

“Soal pandangan mazhab dah jelas ada khilaf dan setujunya, saya tak fikir ada orang tak faham bila qabul jawab saya setuju. Tak mungkin ada orang akan fikir setuju pada hal lain selain dari setuju hal nikah, tak mungkin ada yang fikir dia setuju pasal kereta, pasal rumah.

“Jelas wali sebut, aku nikah.. bila qabul sebut setuju. Tentu saja menyambut pada kata nikah itu. Saya tahu bahawa ustaz ini selama ini banyak tidak sependapat dan sealiran dengan Dr. Maza jurunikah kami dan ada bau permusuhan antara mereka,” katanya.

Terdahulu, Sabri dan Angeline dinikahkan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Maza di kediamannya di Perlis.