Aktiviti membenteras penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) adalah satu cabaran yang besar kepada pasukan keselamatan negara, lagi-lagi dengan perairan negara yang luas.
Untuk memastikan perairan negara tidak mudah dibolosi, pihak kerajaan terus memperkukuh dan meningkatkan keupayaan pasukan keselamatan.
Di mana, pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah pun menerima enam kapal pemintas atau Fast Interceptor Craf (FIC) bernilai RM80 juta yang akan ditempatkan di pangkalan utama TLDM di seluruh negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bot berkelajuan 50 knot ini mampu memintas mana-mana bot yang menceroboh perairan negara dalam tempoh masa yang cepat.
Tambah beliau lagu, pihaknya berpuas hati dengan keupayaan FIC dan berhasrat memiliki 13 lagi bot serupa dengan anggaran harga lebih RM170 juta, bagi mengukuhkan lagi kekuatan TLDM dalam Op Benteng.
Kapal tempur yang dibina sepenuhnya Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd (GMI) di limbungan GMI di Lumut Port Industrial Park, Perak dalam tempoh lima bulan itu diserahkan kepada TLDM pada 19 Mac lalu.
Beliau bercakap pada sidang media selepas menerima enam bot FIC itu serta menyaksikan demonstrasi keupayaan bot tersebut di Pangkalan TLDM Lumut di sini kelmarin.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima TLDM, Laksamana Mohd Redza Mohd Sany dan Pengerusi Eksekutif Gading Berhad, Datuk Seri Johari Harun.
FIC yang panjang 18 meter dan memiliki dua jentera 1,550 kuasa kuda dengan sistem dorongan jet direka bentuk untuk dikendalikan lima kru serta mampu membawa sehingga lapan anggota Pasukan Bergerak Cepat (QRF) pada satu-satu masa.
Ismail Sabri berkata, FIC boleh digunakan untuk mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan seperti pendatang tanpa izin, penyeludupan, pelanunan, rompakan laut, pemerdagangan manusia dan pencerobohan nelayan asing.