fbpx

Tiada Lelaki Cuba Dekati, Nabila Razali Akui Sesekali Rasa Sunyi

Usia sudah mencecah 30 tahun, pelakon dan penyanyi Nabila Razali tidak terlepas ditanya mengenai soal jodoh. Menurut Nabila, andai bertemu jodoh, dia tidak sembunyikan berita gembira itu daripada umum.

Memetik BH Online, Nabila berkata perkara itu pasti akan dikongsikan lebih-lebih lagi buat mereka yang banyak menyokongnya serta mahu peminat mendoakan yang baik-baik buat dirinya.

BACA: Bukan Sengaja Nyanyi Sumbang, Nabila Razali Terluka Baca Komen Sinis Netizen

“Saya mahu berterus-terang sahaja kerana perkahwinan adalah perkara baik. Bagi saya, benda baik harus dikongsikan kerana tidak sama dengan undangan acara makan-makan.

“Saya juga mahukan ahli keluarga, rakan dan peminat mendoakan yang baik-baik untuk saya, jadi berita gembira kenalah beritahu.

“Lagipun, saya mahu hari bersejarah dalam hidup dikelilingi oleh insan yang sering menyokong kerjaya dari awal pembabitan sehingga hari ini,” katanya.

Menurut Nabila lagi, dia masih belum bertemu dengan jejaka idaman dan mengakui tiada jejaka cuba mendekatinya sejak dia putus cinta enam tahun lalu.

“Memang tiada lelaki istimewa dalam hidup saya, buat masa ini. Jujurnya, saya terbuka berkawan dengan sesiapa sahaja. Sebelum ini, saya ada juga berkawan, tetapi hubungan tidak seperti pasangan bercinta sampai keluar ‘dating’ dan sebagainya.

“Mungkin cinta saya terhadap kerja lebih utama, jadi tidak sempat fikir soal jodoh. Banyak lagi impian belum tercapai, jadi saya mahu kejar impian sebelum memikirkan soal berumahtangga.

“Tetapi, seandainya jodoh sudah tiba, saya akan terima dan akan tetap mengejar impian yang masih belum tercapai,” katanya.

Dalam pada itu, Nabila mengakui pernah rasa sunyi apabila melihat rakan artis seperti Wany Hasrita yang sudah bergelar isteri, manakala Ernie Zakri yang kini mempunyai cahaya mata.

“Kadang-kadang bila tidak buat apa-apa ada juga terasa, tetapi bila sibuk dengan kerja terus jadi lupa,” katanya.