Lembaga Tabung Haji (TH) tidak lagi melibatkan atau melantik ahli politik aktif sebagai anggota Lembaga Pengarahnya sebagai sebahagian daripada langkah memperkukuh tadbir urus institusi berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, dasar itu turut akan dimasukkan dalam pindaan terhadap Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
“Sekarang ini tidak ada lagi pelantikan atau penglibatan ahli politik aktif dan akan dilaksanakan juga dalam pindaan kepada Akta nanti.
“Langkah itu selaras dengan usaha memperkukuh tadbir urus TH, selain memastikan semua pelantikan ke Lembaga Pengarah dibuat berdasarkan amalan fit and proper sebagaimana dilaksanakan Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji menerusi slot Tabung Haji: Pencapaian dan Strategi Masa Depan di Bangi hari ini.
Dalam usaha memperkukuh tadbir urus, TH turut mewujudkan garis panduan pengagihan keuntungan dengan pengisytiharan keuntungan hanya dibuat selepas penyata kewangan diaudit.
Institusi itu juga menubuhkan semula Panel Pelaburan pada 2021 selain memperhalusi dasar berkaitan pelaburan.
Dalam pada itu, Mustakim berkata, 19 daripada 25 syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH telah diselesaikan atau dimuktamadkan manakala enam lagi masih dalam tindakan.
Menurutnya, antara perkara yang masih dalam proses termasuk pindaan Akta 535 serta beberapa cadangan dasar yang perlu melalui proses lanjut sebelum dibawa ke Kabinet dan Parlimen.
“Lebih 90 peratus (pelaksanaan) sedang berjalan tetapi masih ada perjalanan yang panjang untuk membawanya ke Kabinet,” katanya.
Mustakim berkata, pembaharuan yang dilaksanakan TH bukan sahaja memberi tumpuan kepada isu sebelum 2018, sebaliknya merangkumi usaha penambahbaikan berterusan bagi memastikan pengurusan dana pendeposit kekal berhemah dan mampan.
“Tanggungjawab kita adalah untuk memastikan simpanan para pendeposit selamat, Tabung Haji boleh membawa jemaah haji yang mampu untuk menunaikan haji dalam keadaan yang selamat dan baik,” katanya.
KREDIT GAMBAR UTAMA: BERNAMA