fbpx

“Tiada Anak Tak Bermakna Kami Tidak Bahagia”

Meskipun perkahwinan yang dibina bersama vokalis Hujan, Noh sudah memasuki usia tujuh tahun, penyanyi Mizz Nina memberitahu walaupun tidak mempunyai zuriat, tidak bermakna kehidupan seseorang itu tidak sempurna.

Kata Mizz Nina lagi, kebahagiaan tidak bergantung kepada memiliki keluarga yang lengkap kerana matlamat hidup manusia di dunia ini adalah untuk mengejar akhirat.

“Kalau kita tidak punya anak, tidak berkahwin dan sebagainya tidak bermakna kita tidak bahagia. Kita harus bersyukur dengan apa yang kita ada dan boleh mencari bahagia dengan cara lain yang memfokus kepada akhirat.

“Apabila masih tidak ada anak, saya dapat memfokus kepada kerja-kerja kemanusian dan majlis-majlis keilmuan yang saya anjurkan,” katanya kepada Utusan Online.

Bagaimanapun, Mizz Nina memberitahu dia tidak pernah berputus asa untuk menimang cahaya mata dan pernah menjalani teknik rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) untuk mendapatkan zuriat.

“Saya pernah menjalani rawatan IVF tidak lama dahulu namun belum ada rezeki kami. Pada awal perkahwinan, memang ada rasa sedih bila ditanya soal anak tetapi apabila semakin mendalami Islam, perkara ini membuka mata kepada pelbagai hikmah Allah,” katanya.