fbpx

Tangki septik adalah sebuah tangki mendapan dan juga salah satu jenis sistem pembetungan yang menakung air sisa kumbahan daripada aktiviti di rumah seperti air mandi, basuhan baju, tandas dan cucian pinggan mangkuk yang dialirkan masuk ke dalam tangki tersebut.

Bukan setiap rumah mesti ada tangki septik kerana terdapat dua jenis sistem pembetungan di negara ini. Tapi tahukah anda jenis sistem pembetungan yang digunakan di rumah anda? Haa, jangan ambil sikap mudah yer kerana kelalaian anda mungkin boleh menyebabkan pelbagai masalah timbul. Hmm, masalah apa tu ya? Baca sehingga habis artikel ini okay!

Perlu Selenggara Berterusan

Untuk pengetahuan anda, tangki septik biasanya dibina di bawah tanah dan berada di luar premis sama ada di bahagian hadapan, tepi atau belakang premis. Ia mempunyai 2 – 4 penutup logam yang bersegi empat tepat.

Setiap tangki septik memerlukan penyelenggaraan secara berterusan. Anda juga perlu mengosongkan tangki septik tersebut secara berjadual kerana ianya amat penting bagi memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara.

Jangan tak tahu, tangki septik yang tidak diselenggara dan dikosongkan menjadi salah satu faktor utama kepada punca pencemaran sumber air terutamanya sungai dan sistem perairan.

Fuh, cuba bayangkan kalau anda tak ambil kisah tentang ini, minum air tercemarlah jawabnya. Eee, tak sanggup!

Pentingnya Kerja-Kerja Nyahenap Cemar

Jadi, inilah sebab kerja-kerja nyahenap cemar amat penting kerana ia mampu menghindarkan anda daripada terdedah kepada penyakit bawaan air seperti taun, hepatitis dan sebagainya.

Pada masa sama, sumber air yang tidak tercemar dengan air kumbahan akan meningkatkan kualiti air sungai sebagai sumber air mentah sekali gus dapat mengurangkan kos rawatan air bersih.

Kalau anda nak tahu, kerja-kerja nyahenap cemar dari tangki septik ini sebaik-baiknya perlu dilakukan apabila tangki hampir penuh atau sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun. Cuba anda fikir, dalam tempoh tu ada tak anda bertindak?

IWK Akan Bantu Anda

Oleh itu, bagi mengurangkan kesan pencemarannya ke atas alam sekitar dan kesihatan awam, adalah penting untuk setiap pemilik tangki septik atau tangki-tangki tradisional ini mendapatkan perkhidmatan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd untuk membuat pengosongan secara berjadual.

IWK sebagai syarikat pembetungan nasional akan menguruskan penjadualan nyahenap cemar ke atas tangki septik dengan mengeluarkan notis pemberitahuan kepada anda. Kalau anda sudah dapat notis tu, jangan abaikan pula ya.

Notis pemberitahuan ini bertujuan untuk menjadualkan tarikh perkhidmatan nyahenap cemar yang akan dilakukan IWK dan akan dikeluarkan sebanyak dua kali sebagai peringatan.

Kalau anda nak tahu, tangki septik bertindak sebagai tangki mendapan dan apabila air sisa kumbahan masuk ke dalamnya, ia akan pecah menjadi partikel kecil dan mendap di dasar tangki. Tangki septik ini bukanlah seperti loji rawatan kumbahan yang mempunyai peralatan mekanikal.

Jadi, apabila tangki septik tidak dikosongkan, partikel yang masuk setiap hari akan bertambah dan akhirnya memenuhi ruang di dalam tangki. Jika perkara ini berterusan, partikel-partikel ini akan mengeras seperti batu.

Apabila ini berlaku, tiada lagi proses rawatan di dalam tangki septik berkenaan, sebaliknya air sisa yang baharu hanya akan melalui ruang tangki dan mungkin akan terus melimpahi longkang, perairan dan alam sekitar. Sebab itu pentingnya untuk anda kosongkan tangki septik di rumah anda tu.

Haa, amacam? Dapat info baharu tak. Lepas ni dah tahu lah kenapa penting sangat untuk selenggara tangki septik di rumah anda di samping dapat menjaga alam sekitar kita!

Sebarang info lanjut, anda boleh lawati laman sesawang www.iwk.com.my