fbpx

Terbeban Bayar Sewa, Atu Zero Bakal Tutup Kedai

Mempunyai kedai kek lapis dan butik di Setia Alam, bagaimanapun pelakon dan pelawak Atu Zero berkata dia dalam pertimbangan menutup kedai berkenaan berikutan terbeban untuk membayar sewa.

Atu mengakui berat hati untuk melepaskan kedai tersebut namun itu sahaja cara terbaik buat masa sekarang. Namun dia bersama isteri, Shafeeqa Johari, masih meneruskan operasi dari rumah.

BACA: Pernah Hidup Susah, Isteri Dedah Akaun Atu Zero Tinggal RM50

“Memang sayang rasanya apalagi kedai itu sudah kami ubah suai serta sewanya agak berpatutan. Namun begitu, buat masa ini memang kami semakin terbeban untuk membayar sewa bulanannya.

“Kami pun sudah memaklumkan kepada pemilik premis itu untuk memberi laluan kepada penyewa baharu yang lebih berkemampuan jika ada. Kami dengan rela hati sudi melepaskannya.

“Buat masa ini, kami akan tengok keadaan dulu bagaimana tapi kemungkinan besar memang terpaksa menutupnya. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, pendapatan kami merosot serta masih perlu bayar komitmen lain seperti rumah dan kereta,” katanya.

Kata Atu lagi, dia kini perlu mengawal perbelanjaan apatah lagi segala aktiviti seni masih lagi tidak dibenarkan untuk beroperasi.

“Kali terakhir saya terbabit aktiviti seni adalah menerusi Muzikal Lawak Superstar 2. Selepas itu, bila PKP 3.0 memang sudah tiada pekerjaan selain perniagaan kek lapis dan butik berkenaan.

“Meskipun pendapatan jual kek lapis masih ada, tapi perniagaan makanan lain tak dapat dijalankan di premis itu kerana larangan makan di dalam kedai. Justeru, kami berfikir untuk menutupnya saja,” katanya.