Pelakon Hafreez Adam mengakui dia takut untuk mendirikan rumah tangga kerana bimbang akan disamakan dengan bapanya yang telah beberapa kali gagal dalam perkahwinan.
Memetik HibGlam, Hafreez berkata dia enggan membenarkan apa yang pernah dilaluinya sebelum ini turut dirasai anaknya jika mereka mempunyai cahaya mata kelak.
BACA: Zara Zya, Hafreez Adam Bertemu Lepas 5 Tahun Putus Tunang
“Bapa saya melalui fasa beberapa kali gagal dalam perkahwinan. Itu juga antara punca saya takut untuk berkahwin kerana bimbang orang akan samakan kehidupan ayah dengan saya. Sebolehnya perkara itu yang paling saya mahu elakkan,” katanya.
Mengimbau kembali pertunangannya dengan Zara Zya, Hafreez menyifatkan aktres itu adalah wanita terbaik pernah hadir dalam hidupnya dan dia tidak meletakkan kegagalan pertunangan tersebut di bahu sesiapa.
“Sejujurnya Zara Zya adalah antara wanita terbaik yang pernah hadir dalam hidup saya. Saya datang daripada keluarga yang ibu bapa berpisah. Jadi saya tak mahu anak-anak menjadi mangsa. Saya juga tidak mahu apabila sudah berumah tangga, ada antara kita yang saling berubah hati dan bercerai.
“Sekiranya perceraian itu berlaku hanya melibatkan dua individu saya tidak menjadi masalah. Tetapi bagaimana jika ada anak-anak, mereka perlu melalui fasa perceraian ibu bapa dan gangguan emosi termasuk tekanan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Hafreez berkata dia tidak patah semangat dalam mencari cinta baru meskipun sudah beberapa kali gagal dalam perhububungan.
“Bukan menolak komunikasi, tetapi saya bukan jenis yang suka ‘bergayut’ berjam-jam untuk berbual. Cukup sekadar bertanya khabar dan berkongsi cerita penting apa yang berlaku pada hari itu. Bukan sepanjang masa perlu keluar bersama atau menelefon.
“Saya pula jenis yang suka duduk di rumah dan menghabiskan masa dengan keluarga. Jika ingin keluar ‘dating’ juga perlu bawa bersama adik atau kakak. Saya tidak pernah keluar berdua dengan kekasih saya,” katanya.
SUMBER: HibGlam