“Tak Salah Pun Mufti Minta Maaf Kepada Artis”

Susulan tergurannya berkenaan penganjuran konsert ‘Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa netizen agar tidak memanjangkan isu berkenaan.

Memetik Harian Metro, beliau turut meminta netizen menghentikan polemik serta berbaik sangka sesama insan.

BACA: Mufti Pulau Pinang Mohon Maaf Kepada Siti Nurhaliza Kerana Teguran Secara Terbuka

“Saya berharap warganet tidak perlu panjangkan lagi isu ini dan hentikan polemik. Sebaliknya, berbaik sangkalah kita sesama hamba Allah,” katanya.

Sebelum ini, Wan Salim memohon maaf kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Yayasan Nurjiwa kerana membuat teguran secara terbuka hingga menimbulkan polemik. Bagaimanapun, permohonan maafnya itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen.

Menurut Wan Salim, tidak salah jika mufti meminta maaf kepada sesiapa sahaja kerana dirinya juga manusia biasa serta berharap agar dihentikan perbalahan.

“Tak salah pun mufti minta maaf kepada artis atau sesiapa kerana kita manusia biasa, tidak maksum. Manusia tidak boleh yakin bahawa apa yang kita katakan itu adalah betul di sisi Allah SWT. Hanya kita fikir betul, tetapi hanya berdasarkan pertimbangan ijtihad kita sahaja yang boleh betul dan boleh salah.

“Pada pandangan manusia, mufti lebih baik daripada artis tetapi manalah kita tahu, di sisi Allah SWT jadi sebaliknya, justeru tidak salah (jika) minta maaf,” katanya.

×