fbpx

Tak Mampu Beri Zuriat, Syanie Bersyukur Dapat Suami Penyayang

Bertemu jodoh buat kali ketiga, pelakon dan pelawak Syanie meluahkan rasa syukur suaminya menerima kekurangan dirinya sebagai wanita yang tidak lagi ‘sempurna’.

Tidak menyangka akan berkahwin lagi, Syanie berkata sebelum berkahwin dia bertanyakan kepada suami sama ada boleh menerima kekurangan dirinya yang tidak mampu memberikan zuriat.

BACA: Jaga Maruah Suami, Syanie Hisham Istiqamah Berhijab

“Alhamdulillah saya sekarang berasa sangat gembira selepas berkahwin bersama suami. Seperti semua sedia maklum, saya telah menjalani pembedahan membuang rahim dan ovari pada tahun lalu.

“Sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin, saya ada bertanya pada suami sama ada dia boleh menerima kekurangan saya kerana sudah tentu saya tidak mampu lagi memberikannya zuriat,” katanya.

Menurut Syanie, suaminya sedia menerima dirinya untuk dijadikan isteri serta reda jika tidak dikurniakan zuriat kerana yakin bahawa ada sebab mengapa Allah pertemukan mereka.

“Suami pun ada pengalaman gagal dalam rumah tangga. Dia berstatus duda tetapi tiada cahaya mata.

“Kata suami, dia reda jika tidak dikurniakan rezeki zuriat kerana yakin bahawa Allah SWT mempertemukan jodoh antara kami bersebab. Supaya kami sama-sama saling menyayangi antara satu sama lain hingga ke akhir hayat,” katanya.

Syanie mendirikan rumah tangga kali ketiga dengan Zahril Hafiz Mohammed Nor pada 19 Februari lalu.

Terdahulu, Syanie pernah mendirikan rumah tangga bersama Mohd. Attirmidi Abdul pada tahun 1996 sebelum berpisah pada tahun 2002.

Syanie kemudian mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan seorang lelaki bernama Nadi Putera Mohammad Zainol pada tahun 2014 namun bercerai pada 2016.