Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegur segelintir peminjam yang sengaja tidak mahu membayar hutang tetapi dalam masa sama memperagakan kemewahan.
Memetik Sinar Harian, beliau berpendapat tindakan itu tidak adil kepada semua pihak dan mereka perlu memaklumkan kepada pihak Mara jika ada masalah untuk menjelaskan pinjaman.
BACA: Gagal Bayar Pinjaman Mara Hampir RM1 Juta, Rumah Che Ta Diserbu
“Memang kita mengambil tindakan tegas dalam hal ini kerana saya memegang amanah di Mara dan ini bukan wang kami, ini wang rakyat.
“Jadi saya tidak ada kuasa untuk melupuskan apa jua pinjaman, tetapi kalau ada masalah datang jumpa, jangan pula ada masalah atau tidak ada masalah sengaja tidak mahu bayar tetapi memperagakan kemewahan dan sebagainya. Saya rasa ini tidak adil bagi semua pihak,” katanya.
Sementara itu, Asyraf bagaimanapun enggan mengulas berkenaan jenis pinjaman dibuat oleh seorang pelakon popular yang didakwa gagal menjelaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Tambahnya lagi, pihaknya tidak akan memilih bulu dalam mengambil tindakan tegas terhadap peminjam yang culas membayar semula pinjaman untuk pastikan setiap wang rakyat dapat dipulangkan.
SUMBER: Sinar Harian