Pelakon Mira Filzah meluahkan rasa syukur selamat menunaikan umrah serta ianya pengalaman pertamanya menunaikan ibadah itu sebagai isteri dan juga ibu.
Menerusi perkongsian di Instagram, Mira mengakui ianya agak mencabar namun pengalaman indah buat dirinya.
BACA: Salah Letak Bendera Sudan, Mira Filzah Dihentam
“Pertama kali buat Umrah sebagai seorang isteri dan ibu. Sangat mencabar tetapi satu pengalaman yang sangat indah buat saya.
“Kami cuma ada satu malam sahaja di sini. Emir menawarkan dirinya untuk menjaga Amir dan saya dapat keluar ke masjid sendiri untuk mendirikan solat Tahajjud,” tulisnya.
Sementara itu, Mira turut meluahkan rasa syukur dapat menyempurnakan tawaf mengelilingi Kaabah sambil mendukung anak lelaki, Wan Khair Amir.
“Alhamdulillah, selesai mengerjakan ibadah umrah. Pertama kali bawa Amir dan dia nak mama dukung sahaja, jadi saya yang dukung sambil tawaf tujuh kali. Tak merungut, syukur Alhamdulillah buat segalanya,” katanya.
Untuk rekod, Mira mendirikan rumah tangga dengan Wan Emir Astar Wan pada 3 September 2020. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata Wan Khair Amir Wan Emir Astar kini berusia dua tahun.