“Suami Okay Saya Berkedut” – Zain Larang Che Ta Suntik Wajah

Pelakon Rozita Che Wan berkata dia tidak pernah melakukan rawatan kosmetik berlebihan termasuk suntikan untuk mengekalkan kecantikan wajah.

Memetik Kosmo, Che Ta berkata suaminya, Zain Saidin juga tidak mengizinkannya untuk melakukan rawatan yang boleh mengubah wajah.

BACA: “Saya Jatuh Cinta Dengan Che Ta Waktu Dia Tak Pakai Mekap”

“Saya teringin juga lakukan rawatan seperti suntikan sebab ramai yang buat, tetapi suami tidak benarkan dan tidak suka dengan wanita yang ‘buat muka’.

“Dia okey andai kulit saya berkedut seiring dengan peningkatan usia. Jadi, saya tidak buat sebaliknya hanya jaga kulit dengan produk yang sesuai dan rawatan ‘facial’ biasa.

“Sebenarnya Zain tidak pernah larang untuk saya lakukan apa-apa kecuali dia selalu tegur bab pakaian dan aurat,” katanya.

Sementara itu, Che Ta berkata dia menyedari kecantikan amat penting buat wanita dan tampil dengan produk baru Glow Edition dibawah jenamanya RCW.

Dalam pada itu, Che Ta berkata dia memilih untuk mengeluarkan produk mampu milik kerana mahu semua golongan wanita kelihatan cantik.

“Saya tidak mahu dengar ayat, ada duit baru boleh cantik. Sebab itu saya keluarkan produk yang semua wanita mampu beli. Set yang disediakan juga ringkas sesuai untuk wanita yang sibuk dan mahukan penjagaan asas wajah,” katanya.

×