fbpx

STR: Bantuan Kecil, Impak Besar untuk Keluarga Malaysia!

Sumbangan Tunai Rahmah (STR) ni penting sebab ramai rakyat Malaysia sekarang tengah struggle dengan kos sara hidup yang makin tinggi. Harga barang naik, tapi gaji tak banyak berubah. Jadi, bantuan ni dah macam “talian hayat” untuk bantu rakyat urus perbelanjaan harian.

Contohnya, duit STR ni boleh guna untuk beli barang dapur, bayar bil, atau tampung keperluan anak-anak. Ia mungkin nampak kecil bagi sesetengah orang, tapi bagi yang kurang berkemampuan, bantuan ni sangat bermakna. Lagi-lagi untuk golongan seperti warga emas, ibu tunggal, atau mereka yang kerja gaji kecil.

Hidup Makin Mahal, Tapi Gaji Macam Tu Je

Anda bayangkanlah hidup di tengah kenaikan harga barang. Kos makan, sewa rumah, dan keperluan harian makin meningkat, tapi pendapatan tetap sama. Penat gais.

Dalam situasi macam ni, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) datang sebagai sinar harapan untuk ramai rakyat Malaysia. Bantuan ini, yang diumumkan kerajaan MADANI melalui Belanjawan 2025, tak hanya meringankan beban kewangan, tapi juga jadi penyelamat bagi mereka yang benar-benar memerlukan.

Kisah Mereka yang Bergantung pada STR

Aziz Rahim, seorang tukang kebun berusia 56 tahun, mengakui STR adalah anugerah besar buat dirinya. Hidup dengan pendapatan tak menentu, setiap sen sumbangan jadi sangat bermakna.

“Walaupun jumlahnya RM150, saya gunakan untuk beli barang dapur seperti beras dan gula. Kalau jumlah ni dinaikkan sedikit, mungkin dapat simpan sikit untuk masa depan,” katanya sambil tersenyum kecil.

Di Lembah Klang, Romi Ahmad, 31, yang bekerja di pusat cuci kereta pula berkata, kos hidup di bandar besar memang mencabar.

“STR ni saya gunakan untuk keperluan asas macam makanan. Dulu, bila dapat bantuan, saya kongsi dengan keluarga di kampung. Tapi sekarang saya gunakan untuk diri sendiri. Harap kerajaan teruskan bantuan ni supaya kami yang berpendapatan rendah boleh terus bertahan,” ujarnya dengan nada penuh harapan.

Bagi warga emas seperti S. Kumari, 64, STR adalah bantuan yang amat dihargai. Walaupun tinggal bersama anaknya, beliau tetap bergantung pada bantuan ini untuk keperluan peribadi.

“Ini kali ketiga saya dapat STR, dan setiap kali saya bersyukur sangat. Kerajaan patut dipuji kerana tidak melupakan golongan seperti kami,” katanya dengan penuh terima kasih.

Senang Je Nak Mohon STR

Lebih menarik, kerajaan kini membuka pendaftaran STR sepanjang tahun. Jadi, mereka yang layak tapi belum pernah memohon boleh kemukakan permohonan. Data penerima juga akan dikemas kini secara automatik, memastikan tiada yang tercicir.

STR: Kecil Tapi Bermakna

Bagi ramai rakyat Malaysia, STR bukan sekadar wang tunai. Ia adalah bukti bahawa kerajaan prihatin dengan nasib rakyat, terutama dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin tinggi.

Bantuan ini, walau kecil bagi sesetengah orang, membawa perubahan besar bagi ramai yang bergantung padanya untuk teruskan hidup.