fbpx

Shuib Mahu Wanita Yang Boleh Terima Anak-Anaknya

Sudah dua bulan pemergian Allahyarham Siti Sarah, pelawak Shuib Sepahtu berkata buat masa ini dia belum bersedia untuk mencari pengganti isterinya.

Menurut Shuib, buat masa ini dia kini perlu memberi tumpuan kepada empat anaknya yang masih kecil terutama anak bongsunya, Ayash Affan. Bagaimanapun, Shuib tidak menolak jodoh andai sudah ditentukan Allah suatu hari nanti.

BACA: “Kalau Ada Masalah, Saya Ke Kubur Arwah Siti Sarah, Kongsi Dengannya”

“Kadang-kadang saya fikir, bagaimana pula perasaan arwah di sana. Jadi bab jodoh ni saya tak berani nak cakap panjang kerana ia adalah percaturan Allah dan saya percaya pada ketentuannya.

“Saya tidak menolak jodoh sebab apa yang diberikan Allah adalah yang terbaik buat saya. Tapi tak boleh juga cakap yang saya tidak akan berkahwin lagi sebab mungkin saya muda lagi dan saya ada empat orang anak, sudah tentu mereka perlukan kasih sayang wanita.

“Mak saya pun kata saya masih muda..sebagai lelaki sudah tentu saya nak ada rasa berkasih sayang, ada nafsu, apalagi dengan ada anak-anak kecil yang perlukan kasih sayang seorang ibu, tapi saya serah soal jodoh kepada Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Shuib berkata andai ditakdirkan berkahwin lagi dia mahukan wanita yang menerima semua anak-anaknya dan tidak mahu yang ada persamaan dengan arwah isterinya.

“Saya tak mahu wanita yang ada persamaan dengan Sarah sebab arwah dah berada dalam kelasnya yang tersendiri, cuma ada kriteria yang saya akan tetapkan.

“Kalau dia berjaya mencuri hati anak-anak saya, mungkin dialah orangnya. Sebab yang lebih penting adalah mereka. Sudah tentu saya mahukan yang terbaik untuk anak-anak saya..cuma masa masa sekarang, belum ada,” katanya.