fbpx

9 Ogos 2021, bersamaan hari Isnin, antara satu tarikh yang akan dikenang oleh Shuib tatkala isteri yang dikasihnya pergi menghadap Ilahi buat selama-lamanya.

Kehilangan tersebut meninggalkan rasa sepi, kosong dan bagaikan hilang seluruh jiwa mencengkam sanubari lelaki ini yang hanya bertemankan suara dan air mata sejak tarikh tersebut.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37, mengabadikan berberapa memori dan perbualan terakhir mereka dalam video muzik (MV) lagu Tinggalkan Diriku yang kini telah pun berada di Youtube.

“Enam hari selepas pemergian Allahyarham Siti Sarah, saya mendengar rakaman lagu Tinggalkan Diriku yang dirakamkan ketika sesi latihan untuk Showcase Siti Sarah yang diadakan pada 2018.

“Rasa sebak, hiba dan segala rasa hadir tatkala mendengarkan semula lagu itu. Cara penyampaian Siti Sarah begitu berbeza dan istimewa sekali seakan sudah tahu apa yang bakal terjadi nanti.

Bait-bait lirik yang cukup indah begitu dirasakan sekarang,” katanya.

“Dalam MV ini saya selitkan perbualan akhir bersama Siti Sarah untuk memberikan kata-kata semangat dan memujuk arwah untuk ‘ditidurkan’.

“Ini adalah momen paling sukar dalam hidup saya sebagai seorang suami dan bapa kepada anak-anak. Perbualan tersebut adalah tanda pengorbanan besar seorang ibu yang bertarung nyawa untuk melahirkan anak,” kata Shuib lagi.

Tinggalkan Diriku merupakan ciptaan Aidit Alfian. Lagu ini dirakam pada tahun 2002 dan dilancarkan pada tahun 2003 melalui album Mimpi Pun Sama.

Dalam rakaman perbualan terakhir yang dikongsikan, Shuib meminta Siti Sarah untuk kuatkan diri berdepan ujian penyakit tersebut.

Siti Sarah, 37, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi, 9 Ogos di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Kuala Lumpur akibat Covid 19.

Allahyarham meninggalkan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6 dan bayi kecil mereka Ayash Affan.