Penyanyi Shila Amzah berkata dia tidak bercadang untuk menarik semula laporan polis yang dibuat terhadap penyanyi lagenda atas faktor keselamatan diri.
Memetik BH Online, Shila berkata dia mengakui trauma selepas insiden diserang penyanyi berkenaan sehingga membuat laporan polis namun tidak menolak untuk berdamai.
BACA: Shila Amzah Tiada Hasrat Tarik Laporan Polis Terhadap Amy Search
“Sejujurnya, saya berada di tempat yang agak sukar. Bukanlah mahu kata saya ini ada ego tinggi dan tak mahu untuk berdamai, itu tidak. Cuma, saya mahu tengok ada perubahan (terhadap individu terbabit).
“Seandainya akan ada perubahan daripada segi sikap sebab perkara ini tak sepatutnya terjadi dalam industri kita. Maksudnya konflik antara ‘superior’ dan ‘junior’ tidak perlu terjadi.
“Apa saya boleh katakan untuk kes ini, saya lakukan perkara betul untuk diri sendiri dan mungkin kepada ramai yang pernah mengalami nasib sama,” katanya.
Sementara itu, Shila berkata setakat ini belum ada pertemuan dengan penyanyi tersebut selepas insiden berkenaan dan tiada masalah jika berada dalam acara yang sama dengan penyanyi lagenda itu.
“Saya mungkin akan ambil pengawal peribadi selepas ini kalau masih ada ‘job’ dengan dia. Klien berhak pilih dan saya takkan letakkan syarat untuk tiada dia dalam acara itu.
“Industri ini kecil, jadi kita sendiri pandai-pandai jaga diri dan jaga keselamatan masing-masing. Saya juga akan bersikap profesional,” katanya.
Sumber: BH Online