fbpx

Sheila Rusly, Jinggo Buat Laporan Polis

Susulan artikel berbaur fitnah terhadap keluarganya, pelakon dan penerbit, Shiela Rusly membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, Hulu Klang, hari ini.

Sheila berkata tindakan itu adalah untuk memberi pengajaran kepada pihak yang menyebarkan fitnah. Katanya lagi, pihak berkenaan tidak menghubunginya, sebaliknya suaminya, Jinggo menghubungi mereka.

BACA: “Jangan Berani Usik Menantu Saya”

“Dia (blogger) tak ada menghubungi kami, sebaliknya suami saya (Jinggo) yang menghubunginya menerusi Instagram dan selepas itu barulah dia memohon maaf.

“Saya buat laporan polis kerana saya nak mereka tahu, tidak semudah itu untuk mereka melepaskan diri dan permohonan maaf itu tidak dapat kembalikan keadaan seperti sedia kala,” katanya.

Kata Sheila lagi, jika semua kesalahan dapat diselesaikan dengan hanya membuat permohonan maaf, apa gunanya mahkamah dan undang-undang serta mempersoalkan adakah ia boleh buat mereka lupa dengan tindakan yang menjatuhkan maruah keluarganya itu.

“Apa saja yang berlaku termasuk fitnah dan apa yang mereka lakukan untuk merosakkan imej saya, kalau boleh selesai dengan memohon maaf, tak perlulah ada mahkamah.

“Jadi, saya berbincang dengan suami dan saya cakap, memang siapa yang buat salah, jalan paling mudah adalah dengan meminta maaf. Namun, adakah permohonan maaf itu dapat buatkan kita lupa akan perbuatan mereka yang saya anggap sebagai sesuatu yang keji kerana menjatuhkan maruah keluarga kami?” katanya.

Dalam pada itu, Shiela berkata ada netizen yang menulis komen berbaur fitnah sudam memadam komen-komen mereka serta ada yang menggunakan akaun palsu.

“Dengan menggunakan akaun palsu, mungkin boleh melepaskan anda di dunia, tetapi Allah tahu walaupun saya tak kenal anda. Manusia suka bertindak tanpa memikirkan kesan yang akan dialami oleh mangsa buli siber itu.

“Jangan sampai perbuatan anda meruntuhkan keharmonian keluarga orang lain kerana semuanya akan berbalik kepada anda,” katanya.

Terdahulu, Sheila Rusly meluahkan rasa berang dengan tindakan sebuah portal sengaja mengaitkan anaknya, Uzair dengan pelakon, Janna Nick.

Portal itu mendakwa Sheila pernah ‘mencadangkan’ nama Janna Nick sebagai calon isteri untuk anaknya, Uzair Haqimy namun ditolak Janna sebelum Uzair memilih Elisya Sandha.

Bagaimanapun, semalam portal berkenaan sudah pun membuat permohonan maaf secara terbuka di Instagram berhubung isu itu.