Setelah sekian lama berteka-teki, akhirnya pelakon Sharnaaz Ahmad telah mengumumkan akan mengakhiri zaman bujangnya pada tarikh 31 Mac ini bersama gadis pilihannya iaitu Noor Nabila yang juga merupakan kakak kepada selebriti terkenal, Neelofa.
Sebelum ini, Sharnaaz Ahmad telah pun merisik Noor Nabila pada tanggal 18 Disember lalu.
BACA: Sharnaaz Ahmad Akui Bahagia, Tiada Isu Tumbuk Kekasih
“Kami akan mendirikan rumah tangga pada tarikh keramat 31 Mac ini untuk majlis akad nikah yang akan diadakan di majlis kediaman pihak perempuan. Seterusnya majlis resepsi pada 2 April di Kuala Lumpur dan majlis resepsi di Pulau Pinang pada 16 April 2016,” katanya di sidang media yang diadakan di Club House Duta Tropica sebentar tadi.
Sharnaaz dan Nabila saling mengenali sejak hampir 2 tahun yang lalu dan membuat keputusan untuk terus berkahwin.
“Kami utamakan apa yang wajib terlebih dahulu, bapa Nabila turut menasihatkan untuk tidak melengah-lengahkan perkara yang baik,” katanya kepada Rotikaya.
Difahamkan majlis resepsi di Pulau Pinang akan ditaja beberapa pihak. (rtky/h)