Pelakon Shaheizy Sam berkata dia membuat keputusan untuk tidak lagi melakonkan babak mesra atau bersentuhan dalam karya lakonannya selepas ini.
Memetik mStar Online, Sam berkata dia membuat keputusan itu selepas melihat ianya bukan satu keperluan untuk menghidupkan sesuatu karya mahupun menyampaikan emosi kepada penonton.
BACA: Makan Sekali Sehari, Shaheizy Sam Ikut Rasulullah Dalam Jaga Pemakanan
Menurut Sam, filem Indera yang menjalani penggambaran empat tahun lalu adalah karya terakhir dia melakonkan babak sedemikian.
“Kalau dapat diputarkan masa, saya memang tak akan buat. Dulu mungkin kerana mahu berseronok dan anggap ia sebahagian daripada kerja, tetapi sekarang tidak lagi.
“Filem Indera menjadi filem terakhir saya yang mengandungi adegan mesra. Selepas ini, saya akan elakkan sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Sam berkata kematangan dalam hidup membuatkan dirinya lebih peka serta berhati-hati dalam memilih watak dan dia mahu lebih mengutamakan hukum hakam.
Tambahnya lagi, meskipun ia hanya sekadar lakonan namun lakonan tersebut boleh menimbulkan fitnah kepada dirinya serta pelakon gandingannya.
“Sebenarnya saya rasa tak selesa. Masa mengubah manusia. Adegan itu dirakam empat tahun lalu, dan kalau diminta lakukan sekarang, saya tidak akan setuju.
“Kalau dulu saya fikir ia hanya kerja, sekarang saya lebih utamakan hukum hakam. Takkanlah nak pentingkan kerja sampai sanggup langgar batas. Semuanya soal kematangan. Lelaki memang lambat matang,” katanya.
Dalam pada itu, Sam berkata isterinya Syatilla Melvin tidak pernah meletakkan sebarang syarat dalam lakonannya namun sebagai suami tanggungjawabnya untuk memahami perasaan isteri.
“Dia tak perlu cakap apa-apa pun, tapi sebagai manusia, saya kena faham apa yang dia mungkin rasa. Dia tak perlu luahkan, saya sendiri yang perlu faham.
“Kalau boleh, saya tak mahu dia tonton filem ini. Tapi saya tahu, lambat laun filem ini tetap akan ditayangkan di pelbagai platform,” katanya.
Sumber: mStar Online