Pelakon Shaheizy Sam memberitahu bahawa dia akan berkahwin pada bila-bila masa sahaja sekiranya disuruh berbuat sedemikian oleh ibunya, pelakon Khaty Fauziah. Jelasnya lagi ura-ura wujud persiapan perekahwinannya adalah dusta semata-mata.
“Kahwin bila-bila masa sahaja, tapi sekarang banyak kerja yang perlu dilakukan seperti promosi filem, penggambaran, bisnes dan sebagainya. Banyak benda yang hendak difokuskan.
“Saya buat semua kerja ini ialah untuk mommy. Seandainya kalau mommy suruh kahwin, saya ikut sahaja dan ntak kisah. Apa yang saya buat ialah untuk kebahagiaan mommy,” katanya yang ditemui semasa majlis pelancaran rangkaian promosi filem Polis Evo di Hard Rock Café kelmarin.
BACA: Mahu Bersederhana, Shaheizy Sam Tidak Mahu Kahwin Di Hotel Mewah
Hubungan yang rapat bersama pelakon Syatilla Melvin diakui oleh Sam sendiri kerana dia selesa berkawan dengan pelakon wanita itu. Tetapi buat masa sekarang Sam lebih selesa untuk tidak bercerita lebih lanjut mengenai hubungan itu.
“Saya tak boleh nak salahkan orang lain apabila bercerita mengenai hubungan saya. Kalau betul nak kahwin saya akan berkongsi dengan semua. Hubungan dengan Syatilla saya memang berkawan dengannya seperti mana saya berkawan dengan artis wanita yang lain,” jelasnya lagi.
Cita Cita Jadi Anggota Polis Akhirnya Tercapai
Sementara itu, untuk lakonannya dalam filem terbaru terbitan Astro Shaw berjudul Polis Evo, Sam berkata cita-citanya untuk menjadi polis akhirnya tercapai apabila diberi peluang besar untuk melakonkan watak sebagai seorang Inspektor.
“Sam sangat bertuah kerana diberikan watak sebagai polis kerana sejak kecil lagi Sam bercita-cita untuk menjadi Polis dan akhirnya tercapai juga impian ini. Arwah bapa Sam juga sebelum ini merupakan seorang Timbalan Ketua Polis Selangor,” katanya yang begitu teruja saat diberi peluang tersebut.
Selain itu, wataknya sebagai seorang Inspektor Polis mendedahkannya dengan segala peranan serta tanggungjawab seorang anggota polis dalam menjalankan misi tertentu. Dengan itu, filem ini menjelaskan ialah salah satu caranya untuk menaikkan imej Polis di mata masyarakat.
Bagi peminat-peminat filem aksi bercorakkan kepolisan inilah filem yang cukup berbeza daripada filem-filem kepolisan sebelum ini. Nantikan filem Polis Evo yang akan menemui anda pada 17 September 2015 di seluruh pawagam Malaysia. (rtky/h)