Umum mengetahui, setiap kali menyambut ulang tahun perkahwinan pelakon Rozita Che Wan akan bersanding semula seperti yang sering dilakukan sejak dua tahun lalu.
Meskipun berdepan dengan pandemik, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta berkata dia tetap bersanding namun kali ini majli diadakan cukup sederhana.
BACA: Zain & Aaisyah Positif Covid-19, Che Ta Tunda Cuti Anniversary Di Pulau Mewah
“Pandemik pun, kami tetap nak bersanding semula. Tahun ini sempat juga melaram dengan baju songket warna merah hati rekaan Man Kajang untuk sesi fotografi.
“Cuma majlis kali ini memang cukup sederhana kerana situasi semasa pandemik. Tapi tetap nak rasai mood jadi pengantin dengan mengenakan gaun rona putih,” katanya.
Meraikan ulang tahun perkahwinannya di sebuah lokasi eksklusif di ibu kota, Che Ta tidak menyangka perkahwinannya kini sudah memasuki tahun kelapan.
“Tempoh itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui. Biasalah dalam tempoh itu, ada gaduh ‘manja’ dan rajuk. Tetapi tak lama, lepas itu sejuklah.
“Pernah ada ketika saya terguris hati dan sentap dengan suami, dia datang buat kejutan bawa jambangan bunga ketika saya menjalani penggambaran di Kedah. Pendek kata pada fasa sekarang memang kena kuat bertahan dan bertolak ansur,” katanya.
Ramai yang bertanyakan mengapa dia dilihat jarang berkongsikan gambar suaminya di media sosial sehingga ada tanggapan rumah tangganya menuju di ambang keretakan, Che Ta berkata Zain bukan seorang yang suka bergambar.
“Mungkin ada yang tak tahu bahawa Zain ini bukanlah seorang kaki bergambar. Berbeza dengan saya, semua orang tahu saya pula memang suka bergambar dan melaram. Hampir setiap hari ada sahaja hantaran di Instagram yang saya muat naik.
“Tahun lalu masa sambutan ulang tahun hari lahir saya, tak nampak kelibat suami pun ada yang buat kesimpulan itu ini. Hakikatnya suami terikat dengan penggambaran drama,” katanya.
Che Ta dan Zain bernikah pada 11 Disember 2013. Pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan, Aaisyah Dhia Rana kini berusia 7 tahun.