Tiada yang terlepas, dan seperti yang dijanjikan kerajaan, sesiapa yang layak untuk menerima bantuan kerajaan, semestinya akan dapat bila tiba masanya.
Bercakap mengenai bantuan ni kami ada berkesempatan untuk menemu bual beberapa penerima yang sangat berbesar hati mendapat bantuan yang disediakan kerajaan.
Kesemua mereka amat gembira apabila menerima bantuan daripada kerajaan. Mana taknya dengan bantuan ini juga lah dapat membantu mereka meneruskan perniagaan saban hari.
Halnya dapat dilihat oleh salah seorang penerima bantuan Semarak Niaga yang sempat kami temu bual.
Puan Siti Suraya, adalah seorang pengusaha tanaman Roselle yang telah berkecimpung dalam dunia tanaman dan perniagaan ini selama tiga tahun.
“Alhamdulillah syukur bila dapat bantuan seperti ini. Dengan adanya bantuan semarak niaga yang saya terima ni, dapat juga saya teruskan semula penanaman Roselle saya yang hampir musnah,”
“1.6 hektar ladang Roselle saya hampir musnah bila pendemik melanda. Memang banyak barang tak boleh keluar kiranya masa pendemik tu saya mengalami kerugian berganda, tapi syukur sebab saya menerima bantuan Semarak Niaga,”
“Dengan wang itu jugalah saya beli peralatan penanaman Roselle, memang sepenuhnya bantuan ini dapat kembalikan balik perniagaan saya.” katanya ketika dihubungi.
Bukan itu sahaja, Suraya juga menyatakan bahawa bantuan seperti ini dapat meningkatkan lagi perasan peniaga kecil seperti mereka untuk terus mengorak langkah demi mencapai impian masing-masing.
Tidak ketinggalan kami juga sempat menemu bual seorang usahawan yang berkecimpung dalam dunia perhotelan di pulau legenda, Langkawi.
Azami Hamdani, Pengusaha Perniagaan Simfoni Suite Apartment Langkawi turut menyatakan perasaannya yang begitu gembira apabila pemohonan Bantuan Pembangunan Sosioekonomi di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjaya diperoleh dalam masa sehari sahaja.
“Saya telah buat perniagaan perhotelan ni sudah lama, bila pandemik berlaku tak kan saya nak tutup perniagaan saya macam tu je, saya juga fikir soal pekerja saya, di mana mereka nak cari kerja dalam musim Covid-19 ni jika saya berhentikan mereka,”
“Jadi dari situ saya mula memohon macam-macam bantuan semata-mata untuk selamatkan perniagaan dan staff saya, dan Alhamdulillah saya dapat bantuan NCER, yang paling buat saya teruja apabila bantuan yang saya mohon ni hanya mengambil masa sehari sahaja.
“Nilai wang yang dibayar secara berperingkat ini saya guna sepenuhnya untuk kebajikan staff dan perniagaan saya. Memang masa Covid tu itu saya struggle untuk selamat kan perniagaan meskipun ramai yang tutup buku masa tu.”
Azami juga turut berkongsi pandangannya, di mana peniaga seperti beliau perlu ada dokumen lengkap untuk memohon bantuan dan dengan adanya dokumen lengkap ini dapat memudahkan peniaga layak mendapat bantuan kerajaan.
Tidak terkecuali penerima bantuan Tekunita, Sharifah Md Tadzil juga berkongsi perasaan gembira dan berpuas hati apabila dapat menaik taraf kebun sayur dan tanaman lain hanya dengan menggunakan bantuan dari Tekunita ini.
“Pada asalnya perniagaan ini saya hanya menolong abang saya untuk usahakan kebun tanaman ini, dan akhirnya kebun ini menjadi salah satu usaha adik-beradik, kami usaha sehabis baik untuk tanaman yang mempunyai keluasan 2 hektar ini.
“Tidak mudah apabila musim Covid melanda dan di sini bermula lah perniagaan kami turut naik sehinggalah saya menerima bantuan Tekunita ini.
“Duit yang saya dapat tu, saya guna sehabis baik untuk beli baja, racun, benih dan apa saja yang berkaitan dengan tanaman kami, agar kami dapat salurkan kepada peniaga hasil yang lebih baik,” katanya.