fbpx

Sempat Buat TikTok, Zaiton Sameon Berakit Harungi Banjir Sambil Menyanyi

Baru-baru ini tular video di aplikasi TikTok memaparkan penyanyi veteran, Zaiton Sameon mendendangkan lagu Kabut Serangkai Mawar ketika berakit mengharungi banjir.

Menurut Zaiton, rumahnya di Klang turut dilanda banjir dan hanya sempat menyelamatkan barang-barang penting. Katanya, sudah lama Klang tidak dilanda banjir sedahsyat ini dan menasihati orang ramai supaya menjaga diri.

BACA: Zaiton Sameon Kini Sudah Berhijab Penuh

“Terkejut juga sebenarnya pukul 2 pagi malam tadi tiba-tiba rumah dinaiki air dan tengok, tiada elektik. Lama Kak Ton tak main air (ketawa).

“Tapi saya sempat menyelamatkan barang-barang penting. Cuma sebuah peti ais tak sempat diselamatkan. Dah rosak, wayar ‘short’ sebab masuk air. Air naik sampai paras paha tapi keadaan masih okey,” katanya.

Dalam pada itu, Zaiton berkata niatnya merakamkan video menyanyi kerana tidak mahu orang ramai tidak tertekan serta bersedih di atas apa yang berlaku.

“Saya rakam video TikTok sebab tak nak orang tertekan dan sedih-sedih. Itu niat saya. Saya cakap dengan adik angkat saya, Zul Yunus, ‘why not you rakam video I atas rakit?’ Semuanya berlaku secara spontan,” katanya.

Kata Zaiton lagi, rakit yang dinaikinya itu adalah buat sendiri oleh adik angkatnya yang bekerja sebagai perancang perkahwinan.

“Rakit buatan sendiri oleh Zul. Barang-barang pelamin tak pakai kita buat rakit. Jangan risau, air tak dalam tapi jangan tiru aksi ini. Keselamatan saya terjamin,” katanya.