fbpx

Semangat! Kontijen Malaysia Pulang Kejayaan Di Sukan Olimpik Tokyo 2020

Pencapaian satu pingat perak dan satu gangsa Kontijen Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berlangsung dalam cabaran pandemik COVID-19, menyamai pencapaian kedua terbaik kontinjen Malaysia ketika edisi London 2012.

Walaupun tidak berjaya mencapai sasaran tiga pingat, pencapaian dikecapi selepas berlabuhnya tirai cara gemilang itu masih dilihat sebagai pencapaian kontinjen negara pada Sukan Olimpik sejak 23 Julai sehingga 9 Ogos lalu adalah baik.

Syukur Masih Boleh Bawa Pulang Kejayaan

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, meskipun pencapaian di bumi Tokyo tidak menepati sasaran awal iaitu tiga pingat dengan salah satu daripadanya emas, namun beliau bersyukur kerana atlet Malaysia masih mampu membawa pulang kejayaan.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

“Sokongan tidak berbelah bahagi rakyat Malaysia kepada barisan atlet kebangsaan memberi makna yang cukup bererti.

“Saya tidak dapat melihat negara lain yang memiliki semangat kebersatuan dalam diri selain rakyat Malaysia yang setia menyokong atlet negara ketika bersaing.

“Misalnya, ketika Azizulhasni meraih tempat kedua dalam keadaan kena hadang oleh pelumba Australia, lihatlah bagaimana reaksi rakyat Malaysia yang memberi komen di laman media sosial,” katanya.

Reezal Merican berkata, secara keseluruhannya, kedudukan Malaysia pada Olimpik Tokyo 2020 adalah di kedudukan ke-74 daripada 206 negara selepas meraih satu pingat perak dan satu pingat gangsa sekali gus menjadi tanda aras untuk menuju ke Olimpik Paris 2024 nanti.

Katanya, di peringkat Asia, kontinjen Malaysia berada di rangking ke-15, manakala bagi negara-negara Komanwel di kedudukan ke-13 dan di tempat keempat untuk Asia Tenggara di belakang Filipina, Thailand dan Indonesia.

“Sejak 1992 sehingga 2020, Malaysia sudah meraih 13 pingat iaitu sembilan pingat perak dan empat pingat gangsa. Sebagai Menteri, saya bersyukur dengan pencapaian ini dalam kita berdepan serba kepayahan.

“Sebagai Menteri yang mewakili kontinjen Malaysia juga, sejujurnya memohon maaf tidak menyempurnakan tiga pingat terutama kilauan emas, namun optimis bagi edisi Paris 2024 dimulakan dengan rentak baharu, demi negara tercinta, Demi Malaysia,” ujar Reezal Merican.

Kemenangan dua pingat negara menerusi sukan berbasikal trek dalam acara keirin oleh Datuk Azizulhasni Awang yang meraih perak, manakala gangsa pula dimenangi Aaron Chia – Soh Wooi Yik dalam sukan badminton bagi acara beregu lelaki.

Olimpik Luar Biasa

Temasya Olimpik kali ini cukup luar biasa dianggap sebagai tidak pernah berlaku (unprecedented) memandangkan persediaan alet Malaysia dan negara lain berdepan kepayahan untuk mempersiapkan diri dalam keadaan dunia dilanda pandemik COVID-19.

Malah, Kementerian Belia dan Sukan bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) turut berusaha keras melakukan perubahan modul latihan bagi memastikan atlet negara bersedia berdepan Olimpik.

Sukan sejak sekian lama menjadi agen perpaduan paling berjaya dalam menyatukan rakyat sesebuah negara, dengan Malaysia tidak terkecuali.

Kita dahulu dijamu dengan penampilan skuad bola sepak generasi emas 1980 yang layak ke Olimpik dan kejayaan pasukan badminton menghadiahkan Piala Thomas pada 1992.

Begitupun pada Olimpik 2020, jagoan seperti Datuk Azizulhasni Awang, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pandelela Rinong menyambung legasi penyatuan dalam usaha lagu Negaraku dimainkan di Jepun.

Busana Kontinjen Malaysia Tarik Perhatian Dunia

Paling mencuri tumpuan apabila beberapa media antarabangsa, termasuk Yahoo!, NZ Herald dan Outsider menyenaraikan Malaysia antara busana terbaik upacara pembukaan.

Kredit: Olympic Council Malaysia

Busana yang dipakai kontinjen negara diinspirasikan daripada persalinan pemakaian Hang Tuah dalam segi penggayaan dan suntikan Jalur Gemilang sebagai warna asas.

Tatacara pemakaian lengkap bertanjak, baju sikap dan samping berbaju Melayu yang melambangkan kejituan rasa cinta kepada Malaysia serta baju kebangsaan.

Persalinan wanita pula lengkap berdokoh dan selendang membiaskan identiti Malaysia yang kaya dengan budaya tersendiri.

Dan tidak ketinggalan, acara Paralimpik Tokyo 2020 yang akan bermula pada 24 Ogos ini sehingga 5 September 2021. Semoga atlet-atlet paralimpik Malaysia dapat menggalas cabaran Paralimpik Tokyo 2020 ini!