Semakan semula sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuatkuasa 1 Julai ini tidak akan membebankan rakyat kebanyakan kerana pendekatannya lebih bersasar, saksama dan bertanggungjawab.
Langkah ini penting bagi menjana hasil tambahan negara secara berhemah tanpa membebankan rakyat biasa.
Prinsip utama di sebalik semakan semula SST adalah jelas iaitu yang mewah menyumbang lebih manakala rakyat biasa terus dilindungi.
Ia menunjukkan peluasan SST bukan sekadar soal percukaian tetapi mencerminkan sebuah sistem ekonomi yang lebih saksama, progresif dan berpihak kepada keperluan rakyat.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, sejak pengumuman perincian awal berkaitan peluasan SST dalam Belanjawan 2025, pelbagai sesi libat urus telah dijalankan bersama pihak industri dan ejen percukaian bagi memastikan pelaksanaan yang lebih adil dan difahami.
Katanya, beberapa cadangan diterima melalui libat urus tersebut dan telah diambil kira ke arah mengurangkan kesan kepada rakyat dan industri.
“Kerajaan melaksanakan peluasan SST bagi menjana hasil tambahan untuk menampung peningkatan perbelanjaan yang komited, terutamanya bantuan rakyat, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.
“Langkah ini penting untuk mewujudkan ruang fiskal terutamanya untuk tahun 2026 dan 2027,” katanya.

Infografik Kadar Cukai Jualan
SST baharu ini dibahagikan kepada dua komponen utama iaitu Cukai Jualan (CJ) dan Cukai Perkhidmatan (CP) yang dikaji semula secara teliti bagi memastikan kesan kepada kos sara hidup rakyat adalah minimum.
Kata Kementerian Kewangan, untuk CJ, tiada perubahan dikenakan terhadap barangan asas seperti ayam, daging lembu, udang tempatan, buah-buahan tempatan serta input pertanian seperti baja, racun dan jentera yang kekal dengan kadar 0 peratus.
Namun katanya, kerajaan menaikkan CJ kepada 5 peratus bagi barangan yang dianggap pilihan atau mewah termasuk makanan laut premium seperti salmon dan ikan kod, buah-buahan import serta jentera industri.
Katanya, bagi sebilangan kecil barangan seperti basikal lumba dan lukisan antik, kadar CJ dinaikkan kepada 10 peratus.
“Pendekatan bersasar ini dijangka tidak menjejaskan kos sara hidup dan tidak akan menyebabkan kenaikan kadar inflasi yang ketara,” jelas kenyataan itu.
Di bawah CP pula, Kementerian Kewangan berkata, peluasan skop yang dilakukan merangkumi enam kategori baharu iaitu sewaan, pembinaan, perkhidmatan kewangan, kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Pun begitu kata Kementerian Kewangan, pendekatan bersasar diambil untuk mengurangkan kesan terhadap rakyat dan Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS) melalui ketetapan dan kemudahan pengecualian.
Katanya, sewaan dan pembinaan rumah kediaman tidak dikenaikan CP dan ia hanya dikenakan kepada unit komersial dan industri.

Semakan SST tetap melindungi rakyat kebanyakan.
Untuk golongan PMKS pula, CP bagi sewaan tidak dikenakan sekiranya nilai jualan tahunan syarikat di bawah RM500,000.
Begitu juga dalam sektor pembinaan apabila kontraktor kecil dengan jualan tahunan kurang RM1.5 juta tidak dikenakan CP.
Dalam sektor kesihatan dan pendidikan pula, kerajaan mengekalkan prinsip melindungi rakyat apabila CP hanya dikenakan kepada bukan warganegara.
Kata Kementerian Kewangan, bagi institusi pendidikan, hanya sekolah yang mengenakan yuran melebihi RM60,000 setahun dikenakan CP dan hanya melibatkan kira-kira 30 buah sekolah antarabangsa di seluruh negara.
“Walaupun peluasan CP berkuatkuasa 1 Julai 2025, syarikat yang belum berdaftar tetapi menyediakan antara enam jenis perkhidmatan tersebut, diberi masa sehingga Ogos untuk mendaftar dan mula mengutip CP bermula September 2025,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Kewangan menyatakan pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) untuk memberi penerangan kepada rakyat dan memantau agar tiada pihak menaikkan harga sesuka hati.
“Bagi memastikan kos sara hidup tidak terjejas seperti yang dihasratkan kerajaan, Kementerian Kewangan akan bekerjasama dengan KPDN berhubung keterangan SST kepada rakyat dan perniagaan serta penguatkuasaan jika berlaku pencatutan,” katanya.