Penduduk Cyberjaya pasti menarik nafas lega selepas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Mat Jidin mengumumkan akan membina sekolah rendah baharu tidak lama je lagi.
Beliau ada mengucapkan tahniah kepada penduduk Cyberjaya dalam posting di Facebook miliknya pada 7 Oktober lalu.
Menurut Radzi, beliau telah melawat Sekolah Kebangsaan Cyberjaya untuk meninjau pengoperasian sekolah tersebut sewaktu pandemik COVID-19 pada Mac tahun lalu. Ketika di sana, beliau mendapati jumlah murid di sekolah berkenaan semakin padat.
“Sekolah ini mempunyai jumlah murid seramai 2,418 murid dan merupakan sebuah sekolah yang padat.
“Kita ikhtiarkan agar sebuah sekolah baharu dapat dibina di kawasan ini untuk kemudahan ibu bapa dan anak-anak.
“Hari ini diumumkan bahawa sebuah sekolah rendah baharu akan dibina di Cyberjaya. Tahniah kepada penduduk Cyberjaya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya itu.
Untuk info anda, Mac tahun lepas beliau telah membuat lawatan di Sekolah Rendah Cyberjaya bagi sesi penyuraian.
Dan jelas beliau dalam posting di laman Facebooknya itu, antara perkara yang paling mencabar untuk ditangani oleh KPM dan pihak sekolah apabila sekolah secara bersemuka dibuka semula adalah penyuraian murid setelah tamat sesi persekolahan. Apatah lagi penyuraian untuk sekolah dua sesi yang mempunyai ramai murid.
Dan disebabkan ini, beliau mahu membina sebuah sekolah rendah di Cyberjaya bagi memudahkan murid serta ibu bapa.
Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM430 bagi pembinaan lima buah sekolah baharu dalam Belanjawan 2023.
Katanya, bagi memenuhi keperluan penduduk setempat, kerajaan pada tahun 2023 akan mula membina lima buah sekolah baharu lmelibatkan SMK Nabalu Sabah, SMK Dudong Sarawak, SK Paya Dusun Terengganu, SK Cyberjaya 2 dan SMK Denai Alam Selangor.