Pelakon Zul Ariffin berkongsikan watak penunggang agama dalam filem Penunggang Agama 2 yang dilakonkan sememangnya wujud dalam kalangan manusia sekarang.

Kata Zul lagi, ramai yang bertemu dengan golongan seperti itu sekurang-kurangnya sekali seminggu. Malah, golongan tersebut berpura-pura alim atas tujuan tertentu.

BACA: Zul Ariffin Dikejarkan Ke Hospital, Alami Tekanan Darah Tinggi

“Saya rasa, ramai orang akan berjumpa penunggang agama sekurang-kurangnya sekali seminggu. Apa yang boleh saya cakap juga, orang bukan Islam, mereka tak baca al-Quran, sebaliknya mereka baca perangai kita (orang Islam).

“Jadi, tunjukkanlah teladan yang baik. Jangan bersikap hipokrit. Pacak ‘tripod’ rakam tengah sembahyang, itu bukan saya. Senang cerita, jangan pergunakan agama untuk kepentingan sendiri,” katanya.

Sebelum ini dilihat banyak menghabiskan masa bersama Ebit Lew, Zul berkata dia tidak pernah bertanya mengenai kontroversi menimpa pendakwah popular itu.

“Saya tak pernah tanya atau persoalkan. Saya cuma cakap dapatkan rehat secukupnya. Dia (Ebit Lew) sedang diuji. Saya tidak berada dalam kedudukan untuk mengulas lanjut mengenai apa yang berlaku.

“Bahkan, pertemuan saya dan dia diisi dengan persalaman, berborak, berkongsi ilmu, solat jemaah dan saya dengar apa yang dia nak cakap. Apa yang saya tahu, dia memberi layanan yang baik terhadap saya dan orang yang dia temui. Perkara lain, saya tak ambil tahu,” katanya.