Minggu lalu, selepas memuat naik gambarnya tidak berhijab di Instagranm, penyanyi Elyana membuat keputusan untuk tidak lagi berhijab.
Meskipun dikecam teruk susulan tindakannya itu, bagaimanapun Elyana memilih untuk mengunci mulut berhubung isu tidak berhijab.
BACA: Elyana Akui Tidak Lagi Berhijab
Memetik BH Online, Elyana berkata dia enggan memberi komen kerana bimbang kenyataannya itu dimanipulasikan serta mengatakan apa yang dipamerkan itulah dirinya.
“Saya tentunya berfikir secara mendalam. Tetapi, saya tak mahu komen sebab kenyataan saya boleh dimanipulasi. Jadi, lebih baik saya tidak cakap apa-apa. Apa yang boleh saya katakan, inilah saya.
“Saya lihat netizen mudah sangat berkata-kata. Jujurnya, saya suka berkawan dengan peminat, seronok apabila ada orang nak bergambar.
“Sebab saya merasakan itu adalah salah satu tanda kasih sayang saya pada peminat, tetapi ada kalanya, kebaikan tidak dibalas dengan kebaikan,” katanya.
Menutup ruangan komen Instagram miliknya, Elyana berkata itu bukan bermakna dirinya takut atau kalah namun mengakui sedih dengan komen dilemparkan terhadapnya.
“Tetapi, tidak mengapa, semuanya tak boleh dipaksa. Insya-Allah, jika tertulis, saya menjadi apa yang netizen harapkan, ia akan terjadi juga. Buat masa ini, inilah saya. Fokus saya untuk menjaga jiwa. Jujurnya, jiwa saya sangat rosak, tetapi saya tidak mahu menyalahkan siapa sebab kita semua manusia biasa.
“Saya tidak mahu menangis kerana pasti ada beranggapan saya meminta simpati. Sekarang, saya fokus pada jiwa dan keluarga. Sudah menjadi adat, ketika senang semua orang akan datang, tetapi apabila susah, hanya saya dan keluarga sahaja yang tahu,” katanya.
Dalam pada itu, Elyana berkata ada yang menganggap dia susah sihat namun tekaan mereka silap kerana dia masih menjalani rawatan kemoterapi seperti biasa.
“Jika ada menganggap disebabkan sudah sihat, jadi, saya lupa diri, itu tekaan silap. Sebenarnya, kehidupan saya sama sahaja. Sekarang, saya ada beberapa sesi kemoterapi yang belum habis. Selepas habis, barulah saya berbincang dengan doktor untuk meneruskan rawatan lain.
“Perasaan saya tidaklah gembira atau lega selepas disahkan bebas kanser. Saya tahu kanser boleh datang semula pada bila-bila masa,” katanya.