fbpx

Sejauh Mana Anda Boleh Kongsi & Dedah Data Peribadi?

Mungkin ramai di antara kita yang masih lagi belum ‘alert’ tentang pendedahan dan juga perkongsian data peribadi kita.

Nak pula kalau ibu dan ayah di kampung tu. Ada di antara mereka yang kurang pendedahan. Asal ada orang yang pakai pakaian lengkap jer terus percaya itu pegawai kerajaan atau bertugas. Sedangkan itu ada lah scammer dan ramai juga yang menyamar untuk mendapatkan data peribadi kita! Seram kan?

Hati-hati ‘Upload’ Info/Gambar Di Media Sosial

Kalau anda nak tahu sekarang ni ramai juga yang cuai dengan memuatnaik data peribadi mereka secara terbuka di media sosial tanpa menyedari ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan data mereka untuk perkara negatif.

Mungkin anda tak perasan, keterujaan anda dalam memuat naik gambar yang mengandungi maklumat peribadi contohnya keputusan peperiksaan yang ada nombor kad pengenalan, memuatnaik gambar pasport sedangkan banyak maklumat peribadi dipaparkan itu sebenarnya mengundang bahaya.

Ada pihak yang tidak bertanggungjawab akan ‘mencuri’ dan menyebar luaskannya tanpa persetujuan kita untuk tujuan salah. Jadi beringatlah, jangan sesekali lalai dan mendedahkan data peribadi anda yer, sangat bahaya!

Ini Data Peribadi Yang Patut Anda Rahsiakan!

Apa yang anda faham dengan data peribadi itu? Merujuk pada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709], data peribadi ditafsirkan sebagai sebarang maklumat dalam transaksi komesial yang boleh mengenal pasti identiti seseorang. Haa, anda boleh tengok senarai yang kami berikan di bawah. Data peribadi anda tidak patut didedahkan sewenang-wenangnya kepada mana-mana pihak/individu.

Maklumat-maklumat data peribadi adalah seperti yang berikut:

1. Nama dan Alamat
2. Nombor kad pengenalan
3. Nombor pasport
4. Maklumat Kesihatan
5. E-mel
6. Gambar
7. Imej dalam rakaman televisyen litar tertutup (CCTV)
8. Maklumat dalam fail peribadi
9. Maklumat akaun bank
10. Butiran kad kredit

Di samping itu, di bawah Akta 709 data peribadi sensitif merujuk kepada sebarang maklumat mengenai kesihatan (contohnya, jenis darah, rekod kesihatan, keadaan fizikal dan mental), pendapat politik, kepercayaan agama, dan maklumat-maklumat lain yang ditetapkan oleh Menteri di bawah Akta 709 dari semasa ke semasa.

Siapa Yang Boleh Anda Rujuk & Buat Aduan?

via GIPHY

Jika anda ada berkongsi maklumat peribadi seperti yang kami sebutkan di atas ini kepada orang/pihak yang tidak dikenali, dan berasa tidak yakin, serta maklumat anda disalahgunakan, anda boleh jer merujuk kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab.

i. Jika penyalahgunaan data peribadi berlaku dalam transaksi komersial, anda boleh laporkan kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) melalui Sistem Perlindungan Data Peribadi (SPDP), https://daftar.pdp.gov.my.

ii. JPDP ialah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) yang berperanan memastikan pematuhan kepada Akta 709 melalui peningkatan kesedaran/promosi, perkongsian amalan terbaik, khidmat nasihat umum dan bimbingan serta menjalankan penguatkuasaan.

iii. Tanggungjawab utama JPDP adalah untuk mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam urus niaga komersial oleh Pengguna Data (individu/organisasi yang memproses data peribadi) supaya tidak disalah guna dan disalah pakai oleh pihak-pihak berkepentingan.

iv. Sekiranya penyalahgunaan data peribadi itu melibat ugutan dan scam, anda boleh laporkannya kepada Polis Diraya Malaysia (PDRM)

v. Jika penyalahgunaan data peribadi yang melibat buli siber dan berita palsu, anda boleh melaporkannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

vi. Bagi penyalahgunaan atau kebocoran data peribadi di bawah milikan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, sila rujuk kepada agensi kerajaan yang berkenaan dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Nasihat kami, sebagai pengguna, anda perlu sedar bahawa isu perlindungan data ini tidak patut dipandang remeh kerana jika data peribadi anda terlepas ke tangan pihak yang tidak bertangungjawab, kesannya amat dasyat.

Ada antara kita yang telah menjadi mangsa kecurian identiti, scammer dan buli siber. Jadi sentiasalah berwaspada okay. Pada yang ada ibu dan ayah di kampung tu, cubalah anda nasihati dan menerangkan keadaan sebenar kepada mereka. Harap-harap tiada perkara buruk berlaku di kemudian hari!