“Saya Tiada Niat Mahu Hina P. Ramlee”

Berikutan kenyataan pedas yang pernah dikeluarkan sebelum ini, pengarah terkenal tempatan, David Teo dikecam hebat oleh orang ramai yang menganggap kenyataan beliau seperti menghina seniman agung, Tan Sri P Ramlee. Bagaimanapun, David tampil mempertahankan diri dengan menyatakan tiada niat untuk beliau untuk berbuat demikian.

BACA: Zed Zaidi: David Teo Biadap, Kurang Ajar

“Saya sebagai penerbit sangat mengagumi karya-karya beliau yang ‘tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas’. Saya sentiasa berpesan kepada artis-artis dan pengarah di bawah naungan syarikat saya supaya sentiasa berdisiplin dan berilmu supaya tidak menjadi mangsa tipu daya oleh golongan yang sengaja ingin mengambil kesempatan”

“Tidak juga terdetik sedikit pun untuk menidakkan apatah lagi untuk menghina Seniman Agung Tan Sri P Ramlee dan karya-karya beliau. Saya yakin ini semua adalah hanya salah faham dan salah tafsir pihak yang mendengar dan menulis artikel ini,” katanya kepada Utusan Online mengenai kenyataan sebelum ini yang mengundang kemarahan.

Terdahulu, David Teo telah mengeluarkan kenyataan menerusi sebuah portal yang kononnya berunsur nasihat kepada barisan pelakon baru yang hanya inginkan glamor semata tanpa bersikap jimat cermat. Namun pada masa yang sama, David seperti membandingkan kehidupan P. Ramlee yang dahulunya senang kini susah ketika di penghujung usia.

Bagaimanapun kenyataan pedas itu telah mengguris banyak pihak terutamanya peminat setia filem-filem klasik Tan Sri P Ramlee yang berang dengan kata-kata itu. Ini termasuk Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi yang menganggap tindakan David sebagai biadap dan meminta beliau untuk memohon maaf kepada seluruh pihak seniman di Malaysia. (rkty/w)

×