fbpx

“Saya Tak Cakap Pun Kahwin Tahun Depan” – Syafiq Kyle

Sejak semalam hangat diperkatakan mengenai khabar angin pelakon Syafiq Kyle bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya, Mimi Lana dijangka pada tahun hadapan.

Bagaimanapun, memetik Astro Gempak, aktor itu menafikan berita tersebut serta tidak pernah mengeluarkan kenyaataan bakal berkahwin tahun hadapan.

BACA: Syafiq Kyle, Mimi Lana Nikah Tahun Depan

Menurut Syafiq, jawapan diberikannya telah diubah serta tidak pernah menyatakan tarikh rasmi dia akan menamatkan zaman bujangnya.

“Baru-baru ini saya ada ditemubual menerusi panggilan telefon bagi mempromosikan filem Siku 12. Pada akhir temu bual itu, saya ditanyakan soalan provokasi – bilakah saya akan tamatkan zaman bujang.”

“Secara jujur dan menghormati penulis, saya beritahu mungkin bukan tahun ini dan tiada perancangan dilakukan selain jadual saya yang padat sehingga hujung tahun.

“Saya menjawab soalan di atas setelah ditanya ura-ura yang saya telah melakukan persiapan untuk majlis pernikahan pada penghujung tahun ini.

Sepanjang temu bual berlangsung, Saya tidak pernah menyatakan sebarang tarikh atau melakukan sebarang pengumuman,” jelasnya.

Dalam pada itu, Syafiq berkata jika dia akan melangsungkan perkahwinan sudah tentu dia akan maklumkan tarikh majlis tersebut.

“Saya mempunyai keluarga yang perlu saya jaga hati mereka… begitu juga dengan Mimi Lana. Insya-Allah, saya akan beritahu bila semuanya sudah pasti, doakan yang baik baik untuk kami,” katanya.