fbpx

“Saya Sedih Lihat Keadaan Puteri Balqis”

Baru-baru ini kita mendapat perkhabaran mengejutkan tentang keadaan pelakon cilik Puteri Balqis yang berdepan kehidupan yang sukar apabila terpaksa menjual buku tulisannya untuk menampung perbelanjaan harian.

Rata-rata netizen bersimpati dengan nasib pelakon itu serta mendoakan agar Balqis cepat sembuh dan dipermudahkan segala urusan. Perkara itu turut mendapat perhatian Nabila Huda yang turut meminta orang ramai memberi kata-kata semangat buat Balqis.

BACA: Hidup Kini Berubah, Puteri Balqis Akui Terpaksa Ikat Perut

“Saya sedih melihat Balqis dalam hidup begitu. Bukannya kita tidak tahu, Balqis pelakon berbakat. Saya percaya pasti banyak syarikat produksi yang mahu menawarkan dia berlakon.

“Siapa yang tidak mahu memanggil pelakon berbakat seperti Balqis? Jarang kita tengok pelakon cilik sehebat dirinya,” katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Nabila turut memuji bakat lakonan yang dimiliki oleh pelakon cilik itu dan seorang pelakon mempunyai masa depan cerah. Malah ujarnya lagi, tidak semua pelakon cilik mempunyai bakat sehebat itu.

“Mungkin ketika sakit, Balqis agak senyap. Jadi, tiada ‘update’ atau perkembangan mengenai dirinya. Saya fikir mungkin ada yang menghulurkan bantuan, tetapi keadaan tidak mengizinkan.

“Saya harap semua orang beri semangat untuk Balqis terus bangkit… Dia adalah pelakon yang mempunyai masa hadapan yang cerah,” katanya lagi.

Dua tahun lalu, Nabila bersama rakan artis seperti Sharifah Sakinah dan Jihan Muse mengadakan jualan barangan terpakai atau ‘preloved’ bagi membantu Balqis. Sebanyak RM2,500 berjaya dikumpulkan dan diserahkan kepada Balqis, namun malangnya hubungan mereka terputus seketika.

Semalam, Balqis berkongsikan keperitan hidupnya menerusi rancangan Bersamamu, ternyata ianya mengejutkan orang ramai yang melihat perubahan hidup kanak-kanak berusia 12 tahun itu.

Lebih terkilan apabila Balqis mengakui bahawa sering terputus makan selama dua atau tiga hari. Namun Balqis berkata perubahan hidupnya itu cukup indah kerana Tuhan tidak mahu mereka lupa diri.