fbpx

Umum mengetahui, pelawak Shuib Sepahtu mengesahkan dia kini sedang berkawan dan mengenali hati budi seorang usahawan bernama Watie Hanafiah.

Memetik mStar Online, Shuib berkata dia tidak pernah melupakan arwah isterinya, Siti Sarah namun kehadiran Watie dalam hidupnya adalah takdir yang ditentukan.

BACA: Pakai Sedondon Hitam Kuning, Shuib & Watie Curi Perhatian

“Sampai ke hari ini saya masih tercari-cari hari yang saya tidak teringatkan Sarah. Jadi, bila ada orang yang datang kepada kita (Watie), saya pasti ada sebab-sebabnya.

“Zalimlah saya kalau saya tidak menghargai orang itu. Saya tidak tahu masa depan macam mana, tambah pula ibu saya boleh yakinkan saya. Jadi saya rasa itu adalah jawapan paling besar untuk saya,” katanya.

Menurut Shuib, Watie mempunyai ciri-ciri seperti arwah isterinya serta mengagumi usahawan itu yang menjaga kakaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) sejak kecil.

“Saya sangat selesa dengannya kerana Watie seorang yang penyayang. Dia sendiri ada kakak OKU yang sejak lahir memang tak boleh berjalan. Dialah yang hari-hari uruskan kakaknya itu.

“Saya melihat pada pasangan jika satu hari kita sakit, ada tak yang boleh jaga kita? Kita mampu atau banyak duit, tapi bila kita sakit, kita tak nak semua itu pun. Kita hanya nak orang jaga kita, lebih-lebih lagi orang yang kita sayang,” katanya.

Sementara itu, Shuib berkata dia sudah mempunyai perancangan untuk ke fasa seterusnya apatah lagi anak bongsunya semakin membesar, namun masanya belum lagi ditetapkan.

“Insya Allah, kalau ikutkan mak saya tu nak cepat sebab dia fikirkan Ayash. Ayash dah makin besar. Sekarang Ayash pun dah nak pandai jalan. Watie pun tak ada masalah sebab dia pun pernah jaga Ayash.

“Cuma apa yang saya boleh katakan, kami berharap yang terbaik dan mohon doa daripada semua. Insya Allah bila sudah ada tarikhnya saya pasti akan umumkan,” katanya.