fbpx

Penyanyi Hasnol Hassan Ariff berkata rumah tangga kedua yang dibina bersama Marina Mohin bakal bertemu titik noktah pada Khamis ini.

Memetik Harian Metro, penyanyi yang popular dengan lagu Laguku Untukmu ini berkata perpisahan mereka itu nanti adalah secara baik dan tiada permusuhan.

BACA: Wartawan Dedahkan Senarai Finalis Gegar Vaganza?

“Cuma kami tiada persefahaman. Jodoh kami sampai sini sahaja. Allahu a’lam,” katanya.

Menurut Hasnol, rumah tangga yang dibina selama hampir 12 tahun itu sudah tidak boleh diselamatkan lagi apatah lagi mereka pernah beberapa kali duduk berasingan.

“Selama ini saya dah lama bertahan. Kami pernah duduk berasingan banyak kali pada 2013, 2015 dan 2016 bagi mencari penyelesaian.

“Bagaimanapun saya tetap memendam rasa dan kali ini nekad baiklah masing-masing bawa haluan sendiri. “Saya nak hidup tenang tanpa fikirkan apa-apa lagi selepas ini,” katanya.

Kata Hasnol lagi, dia akan terus pulang ke Sungai Buloh, Selangor untuk tinggal dan menjaga ibunya yang kini berusia 77 tahun selepas melafazkan cerai.

“Tiada siapa tahu perkara ini kecuali emak, adik dan sahabat karib saya, Shukri Zainal sebelum buat keputusan memberitahu Harian Metro.

“Saya nampak isteri mahukan kemasyhuran dan populariti. Apapun tak mengapa kerana semuanya kehendak Allah belaka. Saya tak perlu nak pening-pening lagi selepas Khamis ini,” katanya.

Terdahulu, Hasnol berkahwin dengan Marina pada 2010 dan mempunyai seorang anak iaitu Haneesa Maisara yang kini berumur 11 tahun.

Hasnol turut mempunyai tiga cahaya mata Aqeef Hayyat, 27, Aqeef Hilman, 24 dan Hanna Aeesya, 18 tahun, menerusi perkahwinan pertama dengan bekas isteri, Akhmarzuraikha Salleh.

Sebelum ini, sebuah portal hiburan melaporkan rumah tangga Hasnol dan isterinya bergolak pada awal tahun itu kembali pulih seperti sedia kala.