Terdahulu, Aliff Aziz mengharapkan agar dapat diberikan peluang kedua dalam perkahwinan bersama bekas isterinya, Bella Astillah.
Mengakui Aliff ada menguhubunginya meminta agar mereka bersama kembali, namun Bella memberitahu buat masa ini dia tidak mahu memikirkan tentang perkara itu.
BACA: “Selagi Saya Masih Hidup, Saya Boleh Berubah”
“Tidak dinafikan, ramai juga yang berharap kami kembali semula sebagai suami isteri. Sejujurnya Aliff sendiri ada menghubungi saya beberapa kali untuk kami kembali bersatu.
“Iya.. melihat keadaan Aliff sekarang, saya turut berasa sedih dan simpati. Tambah pula kami pernah hidup bersama, tapi saya tidak boleh terima Aliff hanya kerana bersimpati terhadap apa yang dia lalui sekarang.
“Saya akui masih mencintai Aliff tetapi buat masa ini saya tidak fikir mahu kembali seperti dulu. Biarlah masa menentukan,” katanya kepada MHETV.
Dalam pada itu, Bella berkata dia sendiri pernah memberitahu Aliff bahawa perceraian mereka masih terlalu baru dan belum pernah terfikir untuk rujuk kembali. Malah, Bella turut memberikan nasihat kepada Aliff untuk berubah.
“Saya katakan padanya, kalau kuat jodoh, dua atau tiga tahun lagi pun kita pasti akan bersama.
“Saya juga ada nasihatkan dia agar menyayangi dirinya dan memperbaiki kesilapan satu persatu tanpa ada paksaan. Biarlah buat masa ini saya fokus untuk mencari rezeki. Hanya itu saya fikirkan sekarang,” katanya.