fbpx

“Saya Bukan Ustazah, Tak Layak Bercakap Agama”

Pengacara dan usahawan terkenal, Neelofa mengakui ketidaksempurnaan dalam memberi pandangan dalam isu seorang wanita yang membuat luahan ditinggalkan ibunya di usia 13 tahun kerana mahu berkahwin dengan lelaki lain.

Memetik Sinar Harian, Neelofa menjelaskan dia tidak sempat membuat kupasan mengenai perkara itu secara menyeluruh kerana kesuntukan masa.

BACA: Selepas Dua Tahun, Neelofa Hentikan Pengeluaran Produk Inai NunHa Serta Merta

“Saya bukan ustazah dan tidak layak bercakap mengenai agama tetapi apa yang dikongsikan ketika itu adalah apa yang saya tahu.

“Bila bercakap mengenai ibu dan ayah ini, susah untuk kita berdebat kerana sudah terang lagi bersuluh dalam al-Quran dan hadis ada ALLAH SWT sebutkan mengenainya.

“Dalam satu ayat ada menyatakan jika kedua ibu bapa kamu bersungguh-sungguh berusaha untuk kami mensyirikkan Aku (ALLAH), jangan mentaatinya tetapi berbuat baiklah (kepada kedua ibu dan bapa) dalam urusan dunia.

“Bayangkan mensyirikkan ALLAH SWT adalah dosa paling besar, tetapi ALLAH masih suruh berbuat baik kepada ibu dan bapa. Begitulah besar martabat, darjat dan status ibu bapa pada-NYA,“ katanya.

Dalam pada itu, Neelofa tidak menafikan dugaan besar yang dilalui oleh individu berkenaan kerana bukan mudah membesarkan adik-beradik tanpa ibu.

SUMBER: Sinar Harian