“Saya Akan Ada Untuk Jebat Sampai Mati”

Rumah tangganya bersama Noor Nabila akhirnya bertemu titik noktah pada 9 Julai lalu, Sharnaaz Ahmad mengakui mungkin dirinya bukan suami yang baik namun dia akan berusaha untuk menjadi seorang bapa yang bertanggungjawab.

Meskipun sudah berpisah, dia dan Nabil berjanji untuk bersama-sama membesarkan cahaya mata mereka Jebat Jayden yang bakal mencecah usia dua tahun, bulan depan. Sharnaaz berkata dia dan bekas isterinya tidak menyimpan dendam apa-apa.

BACA: Sharnaaz Ahmad, Noor Nabila Sah Bercerai

“Memang benar kami sudah pun berpisah secara baik. Alhamdulillah, saya dan Nabila masih berkawan baik, berpisah pun secara baik. Kami sudah bermaaf-maafan. Saya tidak berdendam dengannya dan dia tidak ada ada-apa dendam dengan saya.

“Semua ini adalah ketentuan Allah. Kita hanya mampu merancang tetapi Tuhan yang menentukan. Mungkin saya bukan suami yang baik tetapi saya akan cuba menjadi bapa yang bertanggungjawab.

“Tiada siapa kahwin untuk berpisah. Lagipun, kami sudah menjalani hidup seperti ini sudah bertahun lamanya. Lebih elok kita berpisah dan mencari jalan masing-masing untuk kebaikan bersama,” katanya.

Sharnaz berkata keutamaan mereka sekarang adalah untuk membesarkan dan memberikan yang terbaik kepada Jebat. Malah, Nabila turut memberi keizinan kepadanya melawat Jebat pada bila-bila masa tanpa syarat.

“Saya tidak mahu dia rasa kehilangan seorang bapa. Walau sibuk atau sakit macam manapun, saya tetap berjumpa Jebat di rumah Nabila.

“Alhamdulillah, saya dapat pelepasan daripada Nabila untuk berjumpa Jebat pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Saya anggap itu perkara yang baik. Justeru tiada sebab untuk saya menjadi bapa yang tidak bertanggungjawab.

“Saya kena ambil kesempatan itu untuk sentiasa berada di sisi Jebat. Insya-Allah, saya akan tetap berada Jebat sampai saya mati,” ujarnya.

Selepas pasangan itu gagal mencari kesepakatan, Sharnaaz dan Nabila sah bercerai secara hakam pada 9 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan

×