fbpx

Kini Aktif menyebarkan dakwah, bagaimanapun pelakon Saharul Ridzwan berkata ianya bukan tiket untuk dirinya menilai kesilapan orang lain terutama rakan artis.

Saharul mengakui dia bukanlah orang yang baik, namun meluahkan rasa syukur sepanjang 10 tahun bergelar pelakon dia tidak pernah melakukan babak keterlaluan dan Allah masih menjaga aibnya.

BACA: Saharul Ridzwan Dedah Makan 2 Ekor Ayam, 15 Biji Telur Sehari Dapatkan Badan Sasa

“Apabila kita sudah berubah, ada masa terdetik dalam hati untuk menghakimi orang lain apabila melihat seseorang itu buat salah.

“Tetapi melihat kembali drama yang pernah saya lakonkan sebelum ini ia bagaikan satu peringatan bahawa dahulu juga saya bukanlah seorang yang baik.

“Saya juga bersyukur kerana dalam tempoh berlakon dahulu tidak pernah ada babak keterlaluan, cuma ada sedikit berpegangan tangan dengan wanita.

“Allah masih menjaga aib saya. Namun takut juga secara tiba-tiba Allah buka semua kisah yang boleh menjatuhkan aib,” katanya kepada mStar.

Meskipun kini telah berubah serta lebih mendekatkan diri dengan agama, Saharul berkata dia tidak mahu terus berhenti dari dunia lakonan dan cuba untuk sampaikan dakwah melalui dunia seni.

“Saya sudah lama dalam industri ini. Jadi kalau tidak berlakon akan terbit rasa rindu. Berlakon tidak semestinya perlu adegan cinta sahaja. Saya masih terbuka menerima tawaran tetapi haruslah yang sesuai,” katanya.