Ruhainies, Aliff Aziz Mengaku Salah Tuduhan Berkhalwat

Pasangan selebriti Aliff Aziz dan Ruhainies mengaku salah atas pertuduhan berkhalwat dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan pada 21 Februari lalu.

Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dalam kenyataan hari ini memaklumkan pasangan yang ditahan tahun lalu itu menukar pengakuan kepada bersalah.

BACA: Bayar Denda RM3,000…Kes Khalwat Ruhainies, Aliff Aziz Selesai?

Pada 3 Julai tahun lalu, Aliff dan Ruhainies mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

“Pada tarikh sebutan lepas iaitu pada 17 Oktober tahun lalu, ditetapkan tarikh 20 dan 27 Februari lalu untuk sambung bicara selepas kedua-duanya mengaku tidak bersalah.

“Bagaimanapun, peguam syarie tertuduh melalui surat bertarikh 18 Februari lalu memaklumkan kedua-dua anak guam berhasrat untuk menukar pengakuan dan memohon kepada pihak Mahkamah untuk pindaan tarikh pada 21 Februari.

“Atas pengakuan bersalah itu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah mensabitkan kesalahan ke atas kedua-keduanya dan menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda,” katanya.

Terdahulu, pasangan itu dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah pada 9 Mac tahun lalu.

Sumber dilapor berkata, tangkapan dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) adalah berdasarkan maklumat awam.

SUMBER: BH Online