“RMK-12 akan menjadi `kick-start’ untuk mengembalikan era kemakmuran yang pernah kita nikmati bersama, malah mungkin lebih baik lagi, di mana kesejahteraan rakyat terus terpelihara, kelestarian pembangunan diutama dan transformasi struktur ekonomi diperkukuhkan.”
Ini antara initipati ucapan yang dibentangkan Ahli Parlimen Pagoh, YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), hari ini.
Sebelum pembentangan berlangsung, beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan semua pihak terutama Ahli Parlimen Jeli dan Unit Perancang Ekonomi (EPU), termasuk warga perkhidmatan awam, atas pembentangan Rancangan Malaysia Ke- 12 (RMK-12) pada hari Isnin yang lalu, bersamaan 27 September 2021.
Pandemik Tak Diduga
Jelas Muhyiddin, RMK-12 ini dibentangkan dalam suasana negara kita yang masih melalui fasa kritikal pemulihan negara setelah hampir dua tahun dirundung pandemik COVID-19.
Pandemik ini melanda seluruh dunia dalam keadaan yang tidak pernah diduga, unprecedented, yang telah merekodkan sejumlah 189 juta kes dan meragut lebih 4 juta nyawa.
Malaysia juga terjejas apabila sehingga kini lebih 2 juta kes positif disahkan, dengan lebih 25,000 kematian. Kenyataan ini agak pahit untuk kita telan. Mereka yang terkorban akibat virus ganas itu ada antaranya adalah ibu, bapa, anak, saudara lelaki dan perempuan, sahabat dan kenalan rapat kita.
Tambah Muhyiddin, dalam masa-masa sukar sebelum ini, Kerajaan pimpinannya telah bertindak tegas untuk menyelamatkan nyawa rakyat dan memelihara ekonomi daripada terjejas lebih teruk.
Malah beliau ada mengambil langkah drastik dengan menutup sempadan negara dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang belum pernah dibuat sebelum ini.
Lapan Pakej Bantuan Dan Rangsangan Ekonomi Diumumkan
Bantuan turut dihulurkan kepada rakyat iaitu sebanyak lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai lebih RM530 bilion diumumkan untuk rakyat.
“Ini adalah bantuan tepat pada masanya dan sangat diperlukan. Dengan ketahanan, kesabaran, dan semangat kebersamaan Malaysia Prihatin, Kerajaan dengan sokongan petugas barisan hadapan dan segenap lapisan rakyat hasilnya pada hari ini, kita mula melihat cahaya di hujung terowong,” tambah Muhyiddin.
PICK Adalah Kejayaan Terbesar
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK merupakan kejayaan terbesar negara yang menyaksikan Malaysia antara negara terpantas di dunia dalam liputan vaksinasi populasi dewasa.
Berdasarkan statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV), setakat 28 September, sejumlah 19,912,566 individu atau 85.1 peratus sudah lengkap divaksinasi manakala 21,993,709 individu atau 94 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
“Setelah menempuh 11 rancangan pembangunan jangka lima tahun, Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan di hadapan kita kini, sudah pastinya diharapkan akan menjadi ‘real shift’ untuk mengangkat aspirasi Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, dalam Semangat Keluarga Malaysia.”
RMK-12 Akan Menjadi `Kick-Start’
Jelas Muhyiddin lagi, RMK-12 perlu meneruskan tindakan menyuntik reformasi mendasar yang benar-benar akan mengubah pendekatan ke arah yang lebih inklusif untuk semua, yang dibangunkan atas asas kekuatan ekonomi dan keutuhan rakyat, serta tidak mengabaikan keprihatinan terhadap kelestarian alam sekitar menerusi penggunaan teknologi hijau.
RMK-12 juga perlu memastikan segala perancangan ekonomi dan kewangan adalah tegas dan berani untuk menuju Negara Berpendapatan Tinggi menjelang 2025, dengan Pendapatan Negara Kasar per kapita meningkat dari RM42,755 kepada RM54,843.
Dengan adanya dasar dan instrumen yang tepat dan pelaksanaan Game Changer yang agresif dalam RMK-12, sasaran ini tidak mustahil dicapai.
Perkembangan masa depan Malaysia, mesti mengandungi program dan projek penting atau utama yang boleh melonjakkan atau spearhead pertumbuhan pengeluaran negara, peluang
pekerjaan dan pendapatan dalam jangka pendek dan sederhana.
“Saya menyokong pelan kerajaan berhubung pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) ke Johor Bahru, malahan juga ke utara untuk disambung dengan HSR dari Bangkok ke sempadan Malaysia-Thailand dengan pembiayaan swasta yang melibatkan konsortium kewangan dalam negara.
“Impak projek seperti ini akan memberi kesan berganda dalam membuka peluang pekerjaan dan perniagaan baharu serta pembangunan wilayah dan pengwujudan bandar-bandar baharu sepanjang laluan HSR.
“Ini sudah tentunya akan menghasilkan nilai berganda berbilion ringgit dan mendatangkan manfaat besar kepada rakyat termasuk masyarakat Bumiputera.”
Realiti Kehidupan Rakyat Perlu Diteliti
Pun begitu, jelasnya dalam peralihan untuk menjadi Negara Berpendapatan Tinggi, realiti kehidupan rakyat dan komuniti perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik lebih setahun lalu perlu diberi penelitian dan pertimbangan yang sewajarnya di samping kepentingan masyarakat Bumiputera khususnya di Sabah dan Sarawak untuk mendapat faedah daripada pertumbuhan ekonomi.
Jika sebelum ini, rakyat Malaysia dikategorikan dalam kumpulan pendapatan B40, M40 dan T20 – realitinya kini sudah berlaku rombakan ketara apabila ramai dalam kalangan M40 yang tergelincir ke dalam kumpulan B40 kerana kehilangan mata pencarian atau terjejas sumber pendapatan sepanjang pandemik. Ini menunjukkan rapuhnya pembangunan ekonomi yang lalu.
Oleh itu, inisiatif dan strategi yang digariskan di bawah RMK- 12 perlu bersifat cakna dan prihatin kepada isu agihan agar kekayaan, pertumbuhan dan peluang dapat disebarkan merentasi semua golongan rakyat Malaysia, khususnya masyarakat pedalaman, bumiputera dan Melayu, Orang Asli dan pribumi Sabah dan Sarawak.
Kuncinya adalah pembangunan inklusif atau keterangkuman supaya tidak ada yang akan ketinggalan – No one will be left behind.
“Sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), saya memikul amanah untuk memastikan segala strategi dan usaha-usaha pemulihan negara yang dirancang dapat dilaksanakan tanpa halangan.
“Mesyuarat pertama MPN telah memutuskan untuk menubuhkan Majlis Pemulihan di setiap negeri supaya setiap keputusan dilaksanakan segera dan proses pemulihan dapat benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.”
Cabaran Terbesar Kerajaan
Menurutnya lagi, antara cabaran besar kerajaan ialah menjana hasil negara untuk membiayai lebih banyak program pembangunan fizikal dan sosioekonomi.
Kedudukan fiskal negara memerlukan kerajaan bersikap lebih berani untuk memperkasa peranan sektor swasta sebagai enjin pertumbuhan ekonomi, menerusi usaha seperti kerjasama sektor Awam-Swasta atau Public Private Partnership (PPP).
Ini disebabkan sektor swasta mempunyai surplus atau lebihan dalam sumber kewangannya manakala kerajaan mempunyai defisit.
Namun demikian kerajaan mesti memantapkan pengurusan kewangannya dengan memperbaiki sistem kutipan hasil dan menggunakan undang-undang sedia ada untuk menyeragamkan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (harmonization of sales and service tax) bagi memperbaiki prestasi kutipan hasil cukai.
Ini dapat mengelakkan berlaku ketirisan dan ketidakpatuhan dalam pembayaran cukai yang boleh menjejaskan hasil negara.
Peranan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan – GLC dan GLIC – perlu dinilai semula agar aset-aset kerajaan yang ada dapat dioptimumkan untuk membantu mengukuhkan infrastruktur negara bagi memantapkan proses pemulihan ekonomi dan pertumbuhan ekonomi selanjutnya.
GLC diminta supaya tidak bersaing dengan sektor swasta demi mengukuhkan keusahawanan negara kita. Mereka seharusnya melabur dalam bidang yang berimpak tinggi termasuk meneroka pasaran baharu dalam dan luar negara.
Kerajaan Perlu Beri Tumpuan
Sehubungan itu, kerajaan perlu memberi tumpuan memperkukuhkan sektor-sektor ekonomi yang memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan ekosistem yang kondusif bagi merancakkan pemulihan Malaysia dan menjadikan negara sebagai destinasi mesra perniagaan dan pelaburan, yang mempunyai teknologi tinggi
dan mempunyai nilai tambah atau value-added yang lebih besar.
Tumpuan juga perlu diberikan dalam penyediaan peluang pekerjaan meliputi pelbagai sektor moden seperti perkilangan dan perkhidmatan bagi memastikan pembangunan bakat dan modal insan memenuhi keperluan pembangunan sosioekonomi, di samping meneroka potensi pekerjaan baharu terutama melibatkan ekonomi gig dan yang berteraskan Era Teknologi Digital.
Kerajaan perlu meneruskan tindakan proaktif di bawah Majlis Pekerjaan Negara untuk mencapai sasaran mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan pada tahun ini.
Setakat ini 376,000 pencari kerja telah berjaya mendapat pekerjaan di bawah inisiatif kerajaan. Pada permulaan pelaksanaan RMK-12 ini, usaha mengenal pasti secara agresif golongan yang mengganggur akibat pandemik COVID-19 perlu diberikan keutamaan.
“Penting dalam usaha kita untuk merangka strategi dan tindakan proaktif menyediakan bentuk-bentuk bantuan mengikut realiti yang didepani setiap rakyat pada hari ini, agar segala bantuan dapat disalurkan secara bersasar dan memenuhi kehendak golongan yang benar-benar memerlukan.” tambah Muhyiddin.
Rancangan Jangka Sederhana Untuk Malaysia
Kesimpulannya, RMK-12 adalah rancangan jangka sederhana untuk Malaysia mencapai matlamat muncul kembali sebagai gergasi ekonomi Asia yang tidak mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya.
Untuk mencapai objektif itu, peranan MPN menjayakan pelan pemulihan negara menjadi amat signifikan sebagai pembuka jalan dan pemangkin kepada pembaharuan dan perubahan yang perlu dilaksanakan dalam proses reformasi dan transformasi yang dirancang.
Satu cara untuk RMK-12 mencapai sasarannya menjadikan Malaysia sebuah negara yang Makmur, Inklusif dan Mampan, adalah dengan semua pihak mengetepikan perbezaan yang ada
dan bersatu di bawah payung Keluarga Malaysia, berusaha sedaya upaya meningkatkan produktiviti dengan kemampuan dan kebolehan masing-masing.
Inilah Masanya
“Sekarang adalah masanya. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Bersatulah atas nama anak Malaysia dengan semangat wira seumpama berperang melawan musuh durjana.
“Kita sudah hampir menang melawan musuh halimunan, COVID-19, sasaran kita kini adalah untuk mendokong usaha Kerajaan memulihkan negara yang kita cintai ini dan membawa Malaysia kembali ke puncak kegemilangan dan merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.”
Akhiri beliau, dalam masa 5 tahun ini, kerajaan telah berusaha melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-12 dengan gigih, secara kolektif bagi merealisasikan impian Malaysia menjadi Negara Berpendapatan Tinggi yang Makmur, Inklusif dan Mampan.